Suraya Roslan dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Kebanyakan pesakit Covid-19 'brought in dead' (BID) hanya mengambil masa 24 jam untuk bertukar status dari kategori satu dan dua ke kategori lima.

Berikutan itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika ini memberi penekanan dan fokus segera untuk mengurangkan kes BID.

"Kita dapati sebahagian daripada yang dilapor kes BID adalah mereka pada awalnya berada dalam kategori satu dan dua tetapi dalam tempoh singkat masuk ke kategori lima.

"Kita dapati beberapa kes BID berlaku sangat cepat iaitu dalam tempoh 24 jam saja," katanya dalam sidang media perkembangan harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Khairy berkata, kawalan kendiri perlu dilaksanakan dan mereka yang mengalami kemerosotan kesihatan tanpa sebarang gejala perlu mendapatkan rawatan segera di hospital.

"Bagi mereka yang diuji positif, kuarantin di rumah, tiada simptom atau hanya gejala ringan perlu sentiasa peka dengan kesihatan diri.

"Antaranya demam berpanjangan, kesukaran bernafas, sakit dada, tiada selera makan dan minum, kelesuan bertambah teruk, perubahan status mental seperti kurang tahap sedar, kekeliruan, batuk, muntah, cirit birit yang semakin teruk, kurang kecing, bibir atau jari kebiruan serta ketepuan oksigen kurang 95 peratus diminta segera menghubungi Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) segera atau talian kecemasan 999," katanya,

Khairy berkata, isu BID akan disentuh beberapa hari lagi dengan data lengkap merangkumi dari mana BID datang, kumpulan usia, komorbiditi dan mempunyai sejarah vaksin atau tidak.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 6:51 PM