Datuk Masidi Manjun. FOTO Arkib NSTP
Datuk Masidi Manjun. FOTO Arkib NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Seorang wanita bergejala menyebabkan hampir sekampung penduduk terdedah kepada jangkitan Covid-19 berikutan tindakannya menghadiri majlis pengebumian ahli keluarga di Kampung Nasakot, Ranau baru-baru ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, wanita berusia 40 tahun itu yang menjadi kes indeks Kluster Nasakot dilaporkan di Sabah hari ini mengalami gejala demam, selesema dan hilang deria rasa serta bau sejak 12 Ogos lalu.

Katanya, walaupun bergejala, wanita terbabit masih menghadiri majlis pengebumian ahli keluarga yang berlangsung selama tujuh hari berturut-turut sejak 14 Ogos lalu di Kampung Nasakot, Ranau.

"Kes indeks dikesan positif Covid-19 ketika menjalani saringan pra kemasukan ke wad untuk membawa anak mengidap Talaesemia di Hospital Ranau pada 20 Ogos lalu.

"Siasatan awal mendapati, kes indeks terlebih dahulu membawa anaknya untuk transfusi darah di Hospital Ranau pada 3 Ogos lalu dan saringan kemasukan ke wad adalah negatif. Oleh itu, mereka dibenarkan keluar pada 5 Ogos dan hanya berada di rumah sejak 6 Ogos.

"Namun, pada 12 Ogos, kes indeks dilaporkan mula menunjukkan gejala demam, selesema, hilang deria rasa dan bau. Tidak endah dengan simptom, pada 14 Ogos, kes indeks menghadiri majlis pengebumian ahli keluarga yang berlanjutan selama tujuh hari bersama-sama hampir keseluruhan penduduk Kampung Nasakot," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata saringan kontak rapat yang dijalankan pada 21 hingga 23 Ogos berjaya mengesan empat kontak rapat yang menjadi sub-indeks bagi kes seterusnya.

"Perkumpulan beramai-ramai semasa majlis pengebumian itu mencetus penularan wabak dalam komuniti Kampung Nasakot dan Kampung Tanid di Mukim Malinsau, Ranau. Daripada 95 kontak yang disaring, seramai 31 individu dikesan positif termasuk dua kes baharu hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 11:01 PM