Muhaamad Hafis Nawawi

Bangi: Walaupun sibuk menjalankan amanah dan tanggungjawab diberikan namun petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC) tetap mengambil kesempatan memakai pakaian kebangsaan dan bertemakan Malaysia.

Ketua Penyelaras PPV BACC Hasfazilah Hassan berkata, sempena menyambut Hari Kebangsaan hari ini, mereka bersetuju untuk memakai pakaian bertemakan Malaysia di mana ada memakai sari, baju Melayu, baju kurung dan ada juga memakai kemeja-T bertemakan Hari Hebangsaan.

Menurutnya, ia adalah inisiatif pihaknya sendiri untuk melegakan tekanan dan memeriahkan suasana menyambut Hari Kebangsaan 2021.

"Lagipun bilangan penerima vaksin juga sudah berkurangan di sini dan memberi kelegaan kepada kami.

"Ini juga adalah satu cara melegakan tekanan kerana terpaksa bekerja setiap hari bermula jam 7.30 pagi hingga ke jam 8 malam," katanya ketika ditemui di PPV BACC di sini, hari ini.

Hasfazilah berkata, memakai pakaian seperti ini paling mudah dilakukan selain tidak mengganggu pekerjaan malah ia melambangkan Malaysia.

"Kami berkhidmat untuk negara dan ini adalah pengorbanan serta perlu menunaikan tanggungjawab diberikan kerana itu adalah amanah rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu, petugas PPV BACC, Karthigah Saker, 26, berkata, ia adalah pengalaman baru baginya menyambut Hari Kebangsaan dalam suasana seperti ini.

"Saya mengambil masa 30 minit untuk bersiap memakai pakaian sari dan menghias diri sebelum datang ke PPV BACC bagi menjalankan tugas menyuntik vaksin.

"Keamanan dan keharmonian dikecapi negara pada hari ini perlu dipertahankan untuk generasi akan datang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 2:51 PM