CHOW Kon Yeow (dua kiri) menerima sumbangan 20,000 dos vaksin Covid-19 daripada Amirudin dalam satu majlis ringkas di PPV SP Arena Seberang Jaya. FOTO Nur Izzati Mohamad
CHOW Kon Yeow (dua kiri) menerima sumbangan 20,000 dos vaksin Covid-19 daripada Amirudin dalam satu majlis ringkas di PPV SP Arena Seberang Jaya. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Kerajaan negeri Selangor menunjukkan solidariti terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang apabila menyerahkan 20,000 dos vaksin secara percuma, hari ini dalam usaha mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di negeri itu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sumbangan vaksin kepada Pulau Pinang dan beberapa negeri lain itu dibuat selepas melihat trend penurunan kes di Selangor.

Beliau berkata, kapasiti penggunaan katil di Selangor kini dikurangkan daripada 130 peratus kepada 88 peratus iaitu 50 peratus daripada jumlah kes sebelum ini.

"Dalam soal ini, kita melihat kalau tidak melakukan sesuatu tindakan vaksinasi dengan segera di Pulau Pinang dan beberapa negeri lain, kemungkinan lonjakan kes akan berlaku sebagaimana pengalaman kita di Selangor.

"Jadi sempena Hari Kemerdekaan hari ini, sebagai tanda solidariti kita berikan sumbangan 20,000 dos vaksin untuk sama-sama menggerakkan Pick dengan pantas dan kita percaya ia mampu mengurangkan kes Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan sumbangan berkenaan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dalam satu majlis di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) SP Arena, Seberang Jaya, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, tanggungjawab pemberian vaksin masih terletak di bawah kelolaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau kapasiti Kerajaan Persekutuan.

"Apa yang dilakukan Selangor ini adalah meningkatkan kapasiti dengan tambahan nilai kita mampu untuk membantu Pulau Pinang dan beberapa negeri lain.

"Ini kerana kita pernah berdepan dengan kekurangan dan kelewatan bekalan sebelum ini," katanya.

Berdasarkan rekod Jawatankuasa Jaminan Khas Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) sehingga semalam, seramai 1.14 juta rakyat Pulau Pinang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin meliputi 64.4 peratus daripada populasi keseluruhan.

Dalam tempoh itu, 55.7 peratus daripada populasi dewasa di Pulau Pinang sudah lengkap dua dos vaksin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 1:56 PM