TUNKU Ismail Ibrahim ketika mengadakan pertemuan bersama Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dan Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu. FOTO ihsan FB TMJ
TUNKU Ismail Ibrahim ketika mengadakan pertemuan bersama Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dan Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu. FOTO ihsan FB TMJ
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibrahim bertitah pertemuan bersama Menteri Besar dan Pengarah Kesihatan Johor, hari ini, bertujuan mencari penyelesaian terhadap isu dihadapi program vaksinasi di negeri berkenaan.

Tunku Ismail dalam muat naik di akaun Facebook rasmi bertitah, pertemuan di Ibu Pejabat Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Stadium Sultan Ibrahim itu membuka ruang supaya rakyat negeri ini dapat menerima vaksin secepat mungkin.

"Susulan perjumpaan ini, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Educity (di bawah Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang dikawal selia Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)) akan mendapat 70,000 dos vaksin pada Khamis ini.

"Inisiatif Pemimpin Advokasi Covid-19 (IPA-C) dimulakan dengan kerjasama kerajaan Johor, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dan pemimpin komuniti tempatan untuk melaksanakan aktiviti pendidikan kesihatan, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan membantu melaksanakan ujian saringan secara bersasar.

"Kerajaan Johor menyediakan khemah lebih besar untuk Covid-19 Temporary Treatment Centre (CTTC) berhadapan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.

"JKNJ memulakan sistem perkhidmatan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) secara maya (VCAC) bagi membolehkan pesakit mendapatkan perkhidmatan kesihatan di rumah masing-masing," titah baginda.

Pertemuan itu dihadiri Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad; Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani dan Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu.

Ia diadakan untuk mendapat laporan terkini mengenai isu kekurangan vaksin di PPV Educity, pembatalan janji temu untuk vaksinasi di Johor selain program vaksinasi pekerja kilang di negeri ini.

Tunku Ismail bertitah, menjadi hasrat baginda perjumpaan itu dapat membuka ruang untuk mencari penyelesaian terhadap isu dihadapi program vaksinasi di Johor.

"Ia supaya rakyat Johor dapat diberi vaksin secepat mungkin, sekali gus negeri ini dapat mencapai imuniti kelompok.

"Alhamdulillah, pertemuan ini membuka ruang penyelesaian isu berbangkit dihadapi program vaksinasi di Johor.

"Namun, kami harus bekerja lebih keras lagi demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terjamin," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 8:02 PM