ANTARA barangan yang dirampas ketika serbuan dijalankan terhadap pusat kecantikan di Batu Uban di sini. FOTO tular
ANTARA barangan yang dirampas ketika serbuan dijalankan terhadap pusat kecantikan di Batu Uban di sini. FOTO tular
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Akibat mengendalikan perkhidmatan ujian saringan Covid-19 secara haram, sebuah pusat kecantikan di Batu Uban, di sini, diarah tutup, hari ini.

Kegiatan pemilik premis terbabit dikesan dalam serbuan dilakukan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Unit Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) pada 11 pagi.

Ketua Penolong Pengarah Kesihatan CKAPS Pulau Pinang, Dr Mohamed Iqbal Hamzah berkata, siasatan awal mendapati pemilik premis itu menyediakan perkhidmatan saringan Covid-19 tanpa pengendalian pihak bertauliah.

Beliau berkata, malah pekerja pusat kecantikan itu sendiri melakukan ujian saringan kepada pelanggan tanpa kehadiran doktor atau jururawat ketika serbuan dilakukan.

"Semakan mendapati lebih 100 pelanggan tampil melakukan ujian saringan di premis itu sejak ia beroperasi dua hari lalu.

"Kemungkinan harga RM50 ditetapkan bagi setiap ujian saringan itu menyebabkan premis dikunjungi ramai pelanggan," katanya di sini, hari ini.

Dr Mohamed Iqbal berkata, pihaknya sedang jalankan siasatan lanjut mengenai pusat kecantikan berkenaan yang mendakwa dibenarkan mengendalikan ujian saringan Covid-19.

"Premis itu diarah tutup susulan menyediakan perkhidmatan saringan Covid-19 secara haram.

"Orang ramai dinasihat supaya berhati-hati ketika mendapatkan perkhidmatan ujian saringan Covid-19 lebih murah berbanding harga klinik kerana bimbang akan dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 4:56 PM