Vaksinator memberi suntikan vaksin Covid-19. FOTO Danial Saad
Vaksinator memberi suntikan vaksin Covid-19. FOTO Danial Saad
Nuraliawati Sabri

Melaka: Pembukaan dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega di negeri ini dijangka dapat membantu imuniti kelompok vaksinasi penduduk dicapai lebih awal.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, ini kerana dua PPV Mega iaitu di Krubong dan Jasin mampu memberi vaksin kepada 8, 000 individu sehari.

Beliau berkata, melalui PPV Mega juga golongan berusia 18 tahun ke atas dijangka menerima suntikan dos pertama mencecah 100 peratus pada September.

"Insya-Allah dengan adanya PPV Mega ini kita dapat menyelesaikan vaksinasi di Melaka sekurangnya dos pertama selewat-lewatnya ma pada September manakala dos kedua pula penghujung Oktober kita dapat capai.

"Berdasarkan pendaftaran vaksinasi kita sudahpun mencapai 83.2 peratus untuk dos pertama dan 60.3 peratus bagi dos kedua.," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau operasi PPV Mega di Perkarangan Stadium Hang Jebat, Krubong, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, berdasarkan statistik itu pihaknya turut menjangkakan semua penerima vaksin akan selesai menerima dos pertama mereka pada bulan depan manakala dos kedua pada Oktober.

"Melaka jangkakan tidak akan berdepan dengan masalah bekalan vaksin apabila bakal menerima 300,000 dos pelbagai vaksin pada bulan depan.

"Setakat ini hanya lima peratus iaitu kira-kira 37,000 daripada 677,400 rakyat yang berusia 18 tahun ke atas masih belum mendaftar untuk menerima suntikan vaksin," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 4:04 PM