GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Roselan Ab Malek


Bentong: Polis menjalankan siasatan terhadap dakwaan ada pihak yang menawarkan slot vaksin Covid-19 kepada warga asing di daerah ini dengan kadar bayaran tertentu.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, polis menerima satu laporan daripada wanita berusia 31 tahun pada jam 12.30 tengah hari semalam berkaitan dakwaan itu.

Katanya, wanita terbabit mendakwa terdapat ejen menawarkan slot vaksin Covid-19 kepada warga asing dengan kadar bayaran antara RM100 hingga RM380 seorang.

"Polis akan menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan itu dan setakat ini, kami menerima satu laporan mengenai kegiatan itu.

"Sehubungan itu, saya meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan penjualan slot vaksin Covid-19 agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di talian 09-2222222 atau mana mana balai polis berdekatan," katanya.

Semalam, Timbalan Ketua Penerangan MCA Pusat, Wong Siew Mun mendakwa menerima aduan daripada penduduk setempat mengenai kegiatan ejen yang menjual slot suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di daerah ini.

Susulan itu, dia membuat laporan di IPD Bentong tengah hari semalam.

"Tindakan ini sama sekali menidakkan hak rakyat Malaysia yang masih menunggu giliran apatah lagi ramai rakyat kita meninggal dunia akibat Covid-19 sebelum mendapat giliran suntikan vaksin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 11:20 AM