GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohd Rafi Mamat


Bentong: Kegiatan menjual slot suntikan vaksin Covid-19 kepada warga asing dengan bayaran antara RM100 hingga RM380 dikesan berlaku di daerah ini, menurut Timbalan Ketua Penerangan MCA Pusat Wong Siew Mun.

Beliau berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk setempat mengenai kegiatan didalangi 'ejen' yang dikatakan menjual slot suntikan vaksin Covid-19 itu membabitkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di daerah ini.

Susulan itu, katanya, beliau membuat laporan di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bentong hari ini, bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

"Kami menerima banyak aduan dan rungutan daripada penduduk daerah ini yang tidak berpuas hati memaklumkan ada 'ejen' menghubungi mereka dan menawarkan slot vaksin kepada pekerja asing.

"Tindakan ini sama sekali menidakkan hak rakyat negara ini yang masih menunggu giliran MySejahtera apatah lagi ramai rakyat kita meninggal dunia akibat Covid-19 sebelum mendapat giliran suntikan vaksin," katanya di sini, hari ini.

Wong berkata, siasatan perlu dilakukan dengan segera bagi memastikan tiada lagi aktiviti seperti itu termasuk dalam program vaksinasi terbaharu yang akan dilaksanakan di Mempaga, di sini, esok.

"Kami berharap polis bertindak pantas dan membuat siasatan demi keadilan kepada seluruh komuniti Bentong.

"Pada masa sama, kami menyeru kepada warga Bentong agar membuat laporan polis sekiranya menghadapi situasi yang sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 6:23 PM