Polis menahan lima wanita warga asing dan seorang pelanggan dalam serbuan di pangsapuri di Taman Usahawan Kepong yang dijadikan sarang pelacuran. FOTO IHSAN PDRM
Polis menahan lima wanita warga asing dan seorang pelanggan dalam serbuan di pangsapuri di Taman Usahawan Kepong yang dijadikan sarang pelacuran. FOTO IHSAN PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Menggunakan kediaman pangsapuri di Taman Usahawan, Kepong, di sini, untuk menjalankan kegiatan pelacuran menjadi taktik bagi mengaburi pihak berkuasa.

Bagaimanapun, kegiatan yang baru beroperasi dua hari terbongkar selepas Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menyerbu kediaman itu, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam serbuan 4.50 petang itu, polis menahan lima wanita warga asing berusia 23 hingga 42 tahun dipercayai pelayan pelanggan (GRO).

Menurutnya, semasa serbuan dijalankan, seorang lelaki berusia 39 tahun dipercayai pelanggan di premis terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan.

"Modus operandi kegiatan ini berselindung di sebalik rumah pangsapuri persendirian dan mereka dipercayai baru sahaja beroperasi sejak dua hari yang lalu.

"Pemilik rumah terbabit sedang dikesan untuk membantu siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati bayaran sebanyak RM160 dikenakan untuk setiap perkhidmatan seks yang ditawarkan kepada pelanggan dan temu janji dibuat melalui aplikasi WeChat.

"Pihak polis berjaya merampas peralatan yang disyaki digunakan untuk kegiatan pelacuran antaranya tuala mandi, tisu tandas, kondom, minyak urut, kad akses dan juga wang tunai.

"Kesemua suspek direman 14 hari bermula hari ini sehingga 11 September depan untuk siasatan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 5:21 PM