ANGGOTA bomba melakukan proses sanitasi dan dekontaminasi ke atas ACC yang sebelum ini dijadikan wad sementara pesakit Covid-19. FOTO Ihsan HTAR
ANGGOTA bomba melakukan proses sanitasi dan dekontaminasi ke atas ACC yang sebelum ini dijadikan wad sementara pesakit Covid-19. FOTO Ihsan HTAR
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kompleks Rawatan Harian (ACC) Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang akan beroperasi sepenuhnya pertengahan September ini jika trend pesakit Covid-19 menunjukkan penurunan secara berterusan.

Pengarahnya, Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata, ACC berkenaan akan mula dibuka Isnin ini, tetapi tidak sepenuhnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, satu mesyuarat bersama semua ketua jabatan di HTAR akan diadakan dalam masa terdekat.

"Insya Allah, ACC akan dibuka secara beransur-ansur dan kemungkinan akan 'full swing' sekiranya trend kemasukan pesakit Covid-19 berterusan berkurangan dan menurun.

"Jadi, kita sedang dalam rangka untuk mengatur supaya klinik ini akan berfungsi seperti sedia ada sebagaimana sebelum Covid-19 dulu.

"Saya akan mengadakan mesyuarat dengan ketua jabatan pada 1 September ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dr. Zulkarnain berkata, sehingga semalam trend kes Covid-19 mencatatkan kematian di bawah 10 kes berbanding 60 kes kematian pada awal Ogos lalu.

"Ini perkembangan yang baik berbanding sebelum ini, dan sekarang ini yang meninggal dunia di luar juga tidak semestinya Covid-19, sebaliknya disebabkan penyakit kronik serta kemalangan.

"Malah sebelum ini, sebanyak 1,200 katil yang disediakan untuk pesakit Covid-19 tetapi terkini katil hanya di bawah 500 sahaja termasuk di unit rawatan rapi (ICU) dan wad lain, ini menunjukkan perbezaan yang sangat ketara," katanya.

Dalam pada itu katanya, pihaknya merakamkan penghargaan terima kasih kepada semua pihak yang turut menyumbang beg mayat kepada HTAR.

"Terima kasih kepada semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang memberikan beg mayat, terkini daripada Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dan pada masa sama, HTAR juga ada membuat perolehan mengenainya," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Andalas, BBP Pelabuhan Klang serta Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) BBP Shah Alam melaksanakan proses sanitasi dan dekontaminasi ke atas ACC yang sebelum ini dijadikan wad sementara pesakit Covid-19.

Proses sanitasi dan dekontaminasi terakhir itu dilaksanakan sebelum ACC dibuka semula pada Isnin depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 12:41 PM