Zahidi Zainul Abidin
Zahidi Zainul Abidin
Izad Thaqif Hassan
am@hmetro.com.my


Yan: Kerajaan diminta mempertimbangkan kebenaran menanam tanaman hemp dan ketum susulan langkah kerajaan Thailand mengeluarkan tanaman itu daripada senarai dadah.

Ahli Parlimen Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, selain ketum, ada pengusaha meminta menanam hemp (varieti tanaman kanabis) yang mempunyai permintaan tinggi di luar negara.

Beliau berkata, hemp ada persamaan dengan kenaf (varieti tanaman kanabis) selain turut dikaitkan dengan ganja, namun ia sebenarnya tidak mengkhayalkan sekiranya dihisap.

"Hemp ini sejenis tanaman yang juga seperti kenaf kerana ia boleh buat perabot selain mengeluarkan tar untuk dijadikan sebagai ubat kanser.

"Tanaman ini (hemp) mempunyai permintaan tinggi di luar negara dan harganya pula sangat mahal," katanya ketika ditemui pada program Bantuan Bakul Makanan Semangat Prihatin Keluarga Kita Keluarga Malaysia di Masjid Jamek Badlishah, di sini, hari ini.

Menurutnya, semua cadangan dan permintaan itu perlu dibincang bagi mengetahui sama ada Malaysia boleh mengambil langkah sama seperti Thailand dalam isu ketum dan hemp.

Pada 2018, Zahidi yang juga bekas Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), pernah memberi cadangan setiap rumah menanam ketum sebanyak lima pokok kerana dilihat mampu membantu taraf ekonomi penduduk tempatan terutama golongan pekebun kecil.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 7:54 PM