Penduduk Kampung Batang Rokan menunjukkan keadaan Sungai Air Salak yang berwarna hitam didakwa akibat pencemaran dari ladang penternakan ayam berhampiran. FOTO ABNOR HAMIZAM
Penduduk Kampung Batang Rokan menunjukkan keadaan Sungai Air Salak yang berwarna hitam didakwa akibat pencemaran dari ladang penternakan ayam berhampiran. FOTO ABNOR HAMIZAM
Abnor Hamizam Abd Manap


Tampin: Sangat kecewa! Itu luahan penduduk Kampung Batang Rokan, Gemencheh di sini, berikutan Sungai Air Salak yang didakwa tercemar dengan sisa kumbahan ladang penternakan ayam berhampiran.

Penduduk, Roslan Mohd Akhir, 54 berkata, pencemaran itu disedari empat hari lalu berikutan rumahnya terletak kira-kira 500 meter dari sungai berkenaan.

Katanya, dia menyedari bau busuk sebelum melihat air sungai berkenaan bertukar menjadi warna hitam.

"Bau kurang menyenangkan itu menyebabkan urusan harian keluarga saya terganggu malah bau semakin kuat ketika cuaca panas," katanya ditemui hari ini.

Bagi Kamaruddin Abu Samah, 66, sungai berkenaan adalah sumber air bagi menyiram kebun sayur yang diusahakannya sejak dua tahun lalu.

Katanya, apabila keadaan ais sungai berubah timbul kebimbangan adakah ia selamat untuk digunakan bagi tanamannya.

"Keadaan air sungai yang kehitaman dan berbau busuk itu menyebabkan keluarga saya turut tidak selesa.

" Rumah saya terletak kira-kira 200 meter dari sungai dan sekarang terpaksa berdepan dengan situasi memualkan ini," katanya.

Manakala, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung ( MPKK ) Kampung Batang Rokan, Malek Samsudin berkata situasi yang berlaku menyusahkan penduduk apatah lagi penduduk turut berdepan dengan masalah lalat.

"Sekarang timbul pula masalah pencemaran di sungai ini dan berharap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha," katanya.

Katanya, ladang ternakan ayam itu dipercayai sudah beroperasi lebih 10 tahun dan sewajarnya mereka sudah arif mengenai peraturan dan syarat penternakan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, siasatan sedang dilakukan oleh pihak Jabatan Alam Sekitar ( JAS) Negeri Sembilan bagi mengenal pasti punca sebenar keadaan Sungai Air Salak berubah warna dan berbau busuk itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 6:03 PM