PETUGAS dan sukarelawan menonton pengumuman senarai kabinet baharu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menunggu orang awam mengambil vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Galaksi Ampang Mall, Ampang, semalam. FOTO Azhar Ramli
PETUGAS dan sukarelawan menonton pengumuman senarai kabinet baharu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menunggu orang awam mengambil vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Galaksi Ampang Mall, Ampang, semalam. FOTO Azhar Ramli
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu tegas dalam memastikan Kabinet pimpinannnya kompeten melaksanakan tugas.

Penganalisis Politik Universiti Malaya, Dr Muhammad Asri Mohd Ali berkata, jika Kabinet baharu gagal melaksanakan tugas seperti diharapkan rakyat, Ismail Sabri berhak mengambil tindakan termasuk menstruktur semula Kabinetnya.

"Kalau gagal (buat kerja) (Ismail Sabri) kena struktur semula Kabinet dia.

"Tempoh 100 hari itu ruang untuk dia (Ismail Sabri) buktikan kepada rakyat dan perlu ingat kunci Perdana Menteri yang berjaya adalah Kabinet yang kompeten.

"Jadi dia perlu tegas dan buat sesuatu jika ada menteri yang tidak menunjukkan prestasi (perform)," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, Ismail Sabri seharusnya mengambil iktibar daripada pengalaman kepimpinan terdahulu.

"Dia sudah belajar apa yang berlaku kepada pemimpin terdahulu apabila berjanji tapi buat lain.

"Jadi mereka perlu buktikan mampu buat kerja dan berbeza dengan tidak mengulangi perangai lama kepimpinan terdahulu," katanya.

Menurutnya, rakyat mahukan kerajaan kembali ke landasan terutama serius dalam menangani isu Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

"Ismail Sabri tahu ke arah mana dia hendak pergi dengan Kabinet sekarang kerana dia berada dalam banyak pentadbiran ramai pemimpin terdahulu.

"Selain misi 100 hari yang diumumkan semalam, rakyat juga mahu lihat apa lagi yang dia akan letakkan sebagai keutamaan di depan kerana itulah kunci kesejahteraan rakyat nanti.

"Apa yang pasti rakyat mahukan hasilnya terutama dalam mengurangkan kes Covid-19 dan kembalikan keadaan ekonomi kita," katanya.

Semalam, Ismail Sabri mengumumkan barisan Kabinetnya membabitkan 31 menteri dan 38 timbalan menteri dengan 80 peratus daripada mereka adalah muka lama dari kerajaan terdahulu.

Beliau turut mahu barisan Kabinet baharu itu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari termasuk membebaskan Malaysia daripada Covid-19, kegawatan ekonomi serta masalah politik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 3:55 PM