LOLANOPITA meninggal dunia di HTAN, Kuala Pilah, hari ini. FOTO ihsan pembaca
LOLANOPITA meninggal dunia di HTAN, Kuala Pilah, hari ini. FOTO ihsan pembaca
Ahmad Hasbi

Kuala Pilah: Lolanopita Sadi, ibu kepada remaja orang kurang upaya (OKU) Allahyarham Muhammad Firdaus Dullah, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), hari ini.

Rakannya, Soriati Parmin, 42, berkata, Allahyarham yang berusia 47 tahun meninggal dunia pada 2.30 petang ketika dirawat kerana menghidap penyakit buah pinggang, kencing manis dan darah tinggi.

"Arwah kawan baik saya dan dia sebenarnya sudah lama sakit. Dia sepatutnya membuat dialisis di Hospital Jempol Isnin lalu, namun disebabkan kekurangan dalam badan, dia terpaksa dimasukkan ke HTAN.

"Dia sudah dibenarkan keluar wad hari ini, tetapi suami arwah menghubungi saya dan memaklumkan Lolanopita meninggal dunia petang tadi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Soriati berkata, Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Islam Mahsan, Jempol, pada 8 malam ini.

Pada 18 November 2014, Lolanopita dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan iaitu mengabaikan dan membiarkan anaknya tinggal tanpa pengawasan dari Januari hingga Jun.

Muhammad Firdaus ditemui dalam keadaan menyedihkan pada 21 Jun ketika operasi Jabatan Imigresen Negeri Sembilan yang memburu pendatang asing tanpa izin (Pati) di kawasan rumah pangsa Taman Semarak, Nilai.

Muhammad Firdaus yang ditempatkan di Taman Sinar Harapan Tengku Ampuan Najihah Seremban disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban pada tahun 2015 dipercayai akibat diserang sawan ketika makan tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 9:24 PM