GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti sebanyak 28 kluster baharu Covid-19 di tujuh negeri, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia membabitkan 15 kluster komuniti, 12 kluster tempat kerja dan satu kluster pusat tahanan.

Beliau berkata, kebanyakan kluster komuniti dilaporkan di Sarawak manakala selebihnya di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

"Kluster terbabit dikenali Mundai yang melaporkan 66 kes positif Covid-19 setakat ini; Duras (60); Plaman Bantang (55); Mapu (43); Nanga Bengap (42); Nanga Dap (29); Jero Gelasah (15); Kampung Bukit Kechik (22); Kampung Nik Nal (12) dan Kampung Lubok Pukol (12).

"Turut dikenalpasti adalah Lorong Mat Nasir (10); Kampung Kusar (sembilan); Perumahan Ketengah (60); Kampung Raja Cameron Highlands (16) serta Kampung Simpang Arang (79)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM turut mengesan kewujudan 12 kluster tempat kerja iaitu masing-masing tiga di Selangor dan Pulau Pinang, dua di Sarawak dan Pahang serta satu di Johor.

Beliau berkata, kluster berkenaan adalah Industri Persiaran Delima mempunyai 107 kes positif manakala Jalan Istana (28); Jalan BBLS Dua (enam); Tapak Bina Changkat Sungai Ara 20 (114); Tapak Bina Jalan Permatang Pauh (26); Jalan Nafiri (22); Ladang 0004 Kuala Baram (31); KM20 Jalan Betong (23); Bukit Tingkat (26); Industri Bandar Tun Abdul Razak (16) dan Persiaran Teknologi 55 (20).

"Terdapat satu kluster pusat tahanan dikenalpasti ini iaitu Tembok Puncak Alam di Selangor yang merekodkan 74 kes positif setakat ini.

"Pertambahan kluster baharu itu menjadikan keseluruhan 4,611 kluster di negara ini dengan 1,467 kluster aktif dan 3,144 kluster sudah tamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 7:55 PM