FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Lebih 20,000 kekosongan jawatan membabitkan 126 majikan ditawarkan kepada pencari kerja menerusi Expo Kerjaya sempena penganjuran 'International Public Employment Forum 2021' (IPEF 2021) secara maya bermula 7 hingga 9 September ini.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berkata, penganjuran IPEF 2021 bertujuan membantu mempersiapkan orang ramai terutama golongan majikan, pekerja dan pencari kerja dengan maklumat serta berkongsikan amalan terbaik bagi membina semula kehidupan pasca pandemik Covid-19.

Katanya, expo kerjaya berkenaan akan disertai majikan daripada ExxonMobil, Honda, CIMB Bank, Top Glove, Schlumberger, Petron, UMW, KPJ dan banyak lagi.

"Program ini diharap dapat membantu merangsang pasaran buruh negara, selain menjadi platform carian pekerjaan yang mudah buat rakyat Malaysia yang sedang mencari pekerjaan dari rumah ketika tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) masih berjalan.

"Selain itu, pada 6 hingga 7 September, turut berlangsung SOCSO's Regional Return to Work (RTW) DIGIMOS Symposium 2021 dalam usaha Perkeso terus membantu golongan orang kurang upaya (OKU) dalam mengharungi cabaran Covid-19.

"Persidangan julung kali ini dijangka menghimpunkan lebih 1,000 peserta dari seluruh pelosok Asia Tenggara dengan mengetengahkan barisan panel jemputan terdiri daripada pakar dalam bidang pengurusan hilang upaya dan rehabilitasi di tempat kerja," katanya dalam kenyataan semalam.

Menerusi program 'International Public Employment Services Symposium' yang dianjurkan pada 7 hingga 8 September pula, Perkeso berhasrat mewujudkan satu platform perkongsian idea dan bertukar pandangan daripada pakar dalam pasaran buruh negara mengenai langkah-langkah membangunkan semula ekonomi negara selepas pandemik Covid-19.

Persidangan dua hari ini dijangka menarik lebih 40,000 penyertaan serta menampilkan barisan panel hebat dan terkemuka dari sektor awam dan swasta.

Orang ramai termasuk golongan profesional, ahli akademik, majikan, pencari kerja, graduan dan lepasan sekolah digalakkan menyertai IPEF 2021.

Pendaftaran boleh dibuat mulai sekarang menerusi pautan www.perkeso.gov.my/ipef .

Untuk maklumat lanjut, hubungi talian Careline Perkeso di 1300- 22-8000 atau emel ke [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 5:15 PM