PKRC USM Kubang Kerian. FOTO BERNAMA
PKRC USM Kubang Kerian. FOTO BERNAMA
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Peningkatan kes Covid-19 di Kelantan sejak lebih sebulan lalu menyebabkan kadar penggunaan katil klinikal di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di negeri itu melebihi 90 peratus.

Berikutan itu, Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir berkata, pihaknya merancang membuka PKRC ke-17 di Dewan Kampus Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, minggu hadapan bagi menampung keperluan.

"PKRC itu akan dapat menampung 156 pesakit katil biasa dan 50 katil klinikal," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dr Mohd Zurairie berkata, ketika ini terdapat 108 katil klinikal yang ditempatkan di tiga PKRC.

Secara keseluruhan, katanya, kadar penggunaan katil di 16 PKRC sedia ada mencapai 70 ke 80 peratus, manakala jumlah pesakit mencecah 2,500 individu berbanding kapasiti 3,150 orang.

Menurutnya, sejumlah pesakit Covid-19 berisiko rendah menjalani Perintah Pengasingan di Rumah (HIO) dan pihaknya memerlukan kerjasama ahli keluarga untuk membuat pemantauan tahap kesihatan mereka.

"Kita mahu memastikan mereka berada dalam keadaan yang baik dan berharap semua pihak supaya patuh prosedur operasi standard (SOP) mencegah penularan Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 4:09 PM