Isma Ismail dan Amir Abd Hamid dan Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan bahawa barisan Kabinet yang dibentuk hari ini merupakan pasukan pengurusan yang akan bekerja bersama rakyat.

Menurutnya, barisan itu perlu bertindak pantas dan bersepadu dalam usaha membebaskan Malaysia daripada ancaman pandemik Covid-19, kegawatan ekonomi serta kekusutan politik.

Katanya, barisan Kabinet itu juga akan berorientasikan hasil yang berlandaskan kepada tiga prinsip iaitu peka dengan keperluan semasa, bertanggungjawab dan amanah serta mengembalikan semula keyakinan rakyat

"Umum mengetahui saya menerima kerajaan ini dalam keadaan seadanya. Pembentukan Kabinet ini merupakan satu formulasi semula berdasarkan situasi semasa, demi mengekalkan kestabilan dan meletakkan kepentingan serta keselamatan Keluarga Malaysia lebih daripada segala-galanya.

"Saya akui bahawa kita sedang berada dalam keadaan yang getir akibat pandemik Covid-19, kegawatan ekonomi dan diburukkan lagi dengan ketidakstabilan politik negara.

"Berdasarkan ramalan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kita akan hidup bersama Covid-19 sebagai endemik, yang bersifat kekal dan menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia.

"Dunia mencatatkan kemunculan varian membimbangkan (VOC) yang lebih agresif dan rekod di seluruh dunia menunjukkan mereka yang sudah divaksinasi masih boleh dijangkiti Covid-19," katanya dalam ucapan pembentukan Kabinet di Putrajaya, hari ini.

Menurut beliau, kerajaan akan memperkasa Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dalam mendidik Keluarga Malaysia untuk hidup bersama virus ini dan perlu terus mengawal segala risiko Covid-19 dan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian.

Katanya, beliau akan memastikan barisan Kabinet komited menjayakan agenda negara, melalui jalinan kerjasama rentas parti bagi memacu pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

Selaras dengan hala tuju Pelan Pemulihan Negara (PPN), Ismail Sabri berkata, aktiviti ekonomi akan dibuka secara berfasa bagi membolehkan rakyat mula bekerja dan mencari nafkah dengan selamat.

"Barisan Kabinet ini dipilih daripada kombinasi mereka yang berpengalaman, diyakini mampu membantu negara memulihkan ekonomi dengan menyokong usahawan, memudah cara perniagaan, dan merancakkan semula aktiviti ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur.

"Barisan Kabinet ini juga mengambil pendekatan baharu yang bersifat lebih terbuka, dengan menyantuni aspirasi Keluarga Malaysia melalui penyampaian perkhidmatan dan maklumat yang lebih efisien.

"Selain itu, penularan Covid-19 di peringkat global dan dalam negara turut memberi kesan langsung kepada pertumbuhan dan permintaan ekonomi tempatan. Saya juga akui keadaan ekonomi negara perlu dipulihkan segera," katanya.

Menurutnya, barisan Kabinet dan kementerian perlu dipastikan berupaya menggalas tanggungjawab ini dengan komited dan lebih proaktif.

Katanya, beliau berharap pelantikan Kabinet itu akan memberi keyakinan baharu untuk negara bangkit dan bersatu dalam melawan Covid-19 serta membebaskan Keluarga Malaysia daripada kesengsaraan hidup akibat pandemik ini.

"Saya akan pastikan Kabinet ini menekankan budaya kerja berprestasi tinggi. Justeru, setiap kementerian perlu membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang serta mencapai sasaran yang ditetapkan.

"Untuk itu, setiap kementerian perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama.

"Realitinya, kita masih berhadapan dengan cabaran dan rintangan. Pun begitu, saya yakin dan percaya bahawa tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan kerana Yang Maha Esa tidak akan menguji hamba-Nya melebihi kemampuan.

"Oleh itu, marilah kita menggembleng segala usaha dan daya serta bekerja bersama rakyat dalam misi memulihkan negara. Barisan Kabinet ini tidak boleh bekerja bersendirian, kami memerlukan dukungan semua penjawat awam dan seluruh Keluarga Malaysia," katanya.

Hari ini, Ismail Sabri mengumumkan 31 menteri dan 38 timbalan menteri dengan sebahagian besarnya terdiri daripada barisan Kabinet terdahulu.

Berita berkaitan:

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 11:51 AM