GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Dakwaan bekalan vaksin di Perak tidak mencukupi adalah tidak tepat.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, setakat ini bekalan vaksin masih mencukupi di negeri itu.

"Sebagai contoh untuk bulan Ogos dijanjikan 1 juta vaksin, insya-Allah dapat cuma jadual itu mungkin tidak seperti mana yang kita harapkan kerana ia tertakluk kepada jadual ketibaan vaksin daripada pembekal luar negara.

"Jadi kalau ada yang mengatakan vaksin tidak cukup ia tidak tepat, vaksin cukup cuma jadual ketibaan itu sahaja yang perlu kita selaraskan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Yahaya Mat Nor (PH-Pasir Panjang) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Dewan Negeri Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini, berhubung pemberian vaksin.

Sementara itu, Saarani berkata, bagi kawasan berkepadatan tinggi, PPV Awam sedia ada dinaik taraf kepada kapasiti harian lebih tinggi.

"Di samping itu kita mewujudkan kaedah pemberian vaksin secara pandu lalu dan melalui program jangkauan komuniti (mobile outreach).

"Bagi kawasan pendalaman pula, pemberian vaksin dilakukan secara jangkauan komuniti (outreach Perak ) dengan sasaran komuniti atau penduduk di kawasan Felda/Felcra dan kawasan komuniti orang asli.

"Ia dijalankan oleh pasukan PPV bergerak membabitkan kakitangan Jabatan Kesihatan dengan dibantu oleh jabatan lain yang berkenaan," katanya.

Saarani berkata, sehingga 24 Ogos lalu, terdapat 22 PPV awam, enam PPV pandu lalu, 14 kumpulan PPV bergerak , 8 PPV khas (sPPV), satu PPV integrasi (awam dan swasta), satu PPV pertubuhan bukan kerajaan (NGO), satu PPV Institut Pengajian Tinggi (IPT), 15 PPV Hospital Swasta (PPVHS), 150 PPV Pengamal Perubatan (PPV GP) dan 8 PPV Program Imunisasi Industri Covid-19 Awam-Swasta (PIKAS) (MITI dan MOT) dengan kapasiti suntikan harian antara 40,000 hingga 45,000 sehari.

"Rekod menunjukkan pencapaian tertinggi pemberian vaksin di Perak adalah sebanyak 39,998 pada 25 Ogos 2021," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata bagi membantu mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), kerajaan negeri sedang membuat penilaian untuk mewujudkan 12 lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) baharu.

Tambah beliau, Perak dijangka mencapai imuniti kelompok 80 peratus selewat-lewatnya pada Oktober ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 3:19 PM