Pengerusi Jawatankuasa Sumber Asli dan Alam Sekitar, Bioteknologi dan Teknologi Hijau, Kesihatan Negeri Perlis, Teh Chai Aan (BN-Titi Tinggi) menjawab persoalan mengenai pemvaksinan di Perlis semasa Sidang DUN Perlis ke-14 di Kompleks DUN Kangar. FOTO AIZAT SHARIF
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Asli dan Alam Sekitar, Bioteknologi dan Teknologi Hijau, Kesihatan Negeri Perlis, Teh Chai Aan (BN-Titi Tinggi) menjawab persoalan mengenai pemvaksinan di Perlis semasa Sidang DUN Perlis ke-14 di Kompleks DUN Kangar. FOTO AIZAT SHARIF
Aizat Sharif


Kangar: Perlis dijangka dapat mencapai imuniti berkelompok pada Oktober hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Asli dan Alam Sekitar, Bioteknologi dan Teknologi Hijau, Kesihatan Negeri Perlis, Teh Chai Aan berkata, imuniti berkelompok berkenaan dapat dicapai sekiranya vaksin Covid-19 yang dibekalkan dengan lancar dan teratur.

"Sehingga 11 Ogos lalu, seramai 89,904 atau 35.1 peratus individu di Perlis sudah lengkap menerima dua suntikan dos vaksin Covid-19.

"Manakala, seramai 127,340 atau 50 peratus rakyat Perlis daripada keseluruhan 254,900 orang pula sudah menerima suntikan sekurang-kurangnya satu dos," katanya.

Menurutnya, secara keseluruhan bagi penduduk dewasa berusia 18 tahun ke atas adalah dianggarkan 181,200 atau 70.3 peratus sudah mendapatkan suntikan dos pertama vaksin Covid-19 manakala 49.3 peratus pula sudah lengkap menerima dua dua dos vaksin.

"Peratusan pendaftaran vaksin bagi populasi 18 tahun ke atas adalah sebanyak 87.8 peratus.

"Selain itu, peratusan bagi populasi berusia 60 tahun ke atas adalah pada kadar 88.9 peratus dan sekiranya vaksin ini dapat dibekalkan dengan lancar maka kita jangka Perlis dapat mencapai imuniti berkelompok pada Oktober nanti," katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri, Mohd Shukri Ramli (PAS-Sanglang), Asrun Nizan Abd Jalil (PKR-Sena) dan Nor Azam Karap (PKR-Kuala Perlis) yang bertanyakan mengenai jumlah rakyat Perlis yang sudah menerima vaksin serta jangkaan tempoh bagi Perlis untuk mencapai imuniti berkelompok selepas proses pemvaksinan dijalankan di negeri itu semasa sesi soalan lisan ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-14 di Kompleks DUN, di sini, hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 1:56 PM