TAKIYUDDIN Hassan. FOTO arkib NSTP
TAKIYUDDIN Hassan. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid dan Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Pas bersetuju dengan pendekatan kerjasama politik rentas parti dipelopori oleh Kerajaan Persekutuan sejak beberapa bulan yang lalu dan kini diteruskan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia adalah pendekatan politik matang yang berpaksikan kepada keutamaan kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat tanpa mengambil kira sebarang perbezaan.

Katanya, Pas berpandangan langkah yang diambil adalah selaras dengan realiti politik masa kini dalam konteks pentadbiran negara di seluruh dunia yang mana tidak wujud dominasi satu parti politik selepas sesuatu pilihan raya umum diadakan.

"Justeru Pas menyambut baik sambutan pimpinan parti-parti pembangkang utama di negara ini terhadap usaha pemulihan negara dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan.

"Ini sekali gus turut memberikan ruang yang luas kepada semua pihak untuk sama-sama menyumbang idea dan buah fikiran dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 serta kesan-kesannya termasuk aspek ekonomi dan sosial.

"Pas yakin, pada masa sama kerajaan akan terus berinteraksi dan mewujudkan kerjasama lebih konstruktif melibatkan semua pemegang taruh termasuk pihak pembangkang ke arah langkah-langkah reformasi merangkumi semua sektor, institusi dan segmen masyarakat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, adalah diharapkan ia menjadi suatu permulaan baik bagi pembentukan landskap baharu politik negara dengan mementingkan kesejahteraan, keharmonian dan keadilan kepada semua rakyat yang terdiri dari masyarakat majmuk.

Semalam, Perdana Menteri bertemu pemimpin parti Pakatan Harapan (PH) diketuai Ketua Pembangkang merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Ismail Sabri dilaporkan berkata, dalam pertemuan lebih satu jam itu pembangkang bersetuju untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam memperkasa fungsi Parlimen sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif serta menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat.

Katanya, persetujuan berkenaan dicapai susulan nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk meredakan suhu politik dalam negara.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 12:29 PM