Seremban. FOTO BERNAMA
Seremban. FOTO BERNAMA
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Penyusutan purata kes baharu Covid-19 daripada empat kepada tiga angka sejak akhir-akhir ini meletakkan Negeri Sembilan sudah mencapai kriteria yang ditetapkan untuk beralih daripada Fasa 1 ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital awam juga menunjukkan penurunan ketara.

Kata beliau, nilai ambang kapasiti katil ICU bagi rawatan pesakit Covid-19 di negeri ini merekodkan penyusutan daripada paras kritikal ke peringkat sederhana.

"Purata penggunaan katil berkurang 36 peratus di hospital awam di negeri ini termasuk di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) iaitu di Politeknik Port Dickson dan Stadium Tertutup Nilai.

"Jumlah katil kosong di PKRC swasta pula 546 katil, ia jauh berkurangan berbanding sebelum ini.

"Malah, perkembangan terkini Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) di Negeri Sembilan juga sangat baik. Setakat ini, 588,880 sudah melengkapkan dua dos vaksin atau 52.17 peratus daripada keseluruhan populasi penduduk negeri ini," katanya dihubungi hari ini.

Veerapan berkata, sejak 13 Ogos lalu, Negeri Sembilan menunjukkan tren penurunan kes baharu Covid-19 daripada 974 ke 478 kes yang direkodkan semalam, manakala terus menurun kepada 351 kes hari ini.

"Kita berharap prestasi lebih baik dapat dilihat pada hari mendatang dengan kes baharu Covid-19 terus menurun.

"Ini akan membolehkan kita beralih ke Fasa 2 PPN yang dilihat penting bagi pembukaan lebih banyak sektor ekonomi sekali gus merancakkannya kembali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 6:38 PM