Mohd Yusof @ Abu Samah Mohd Nor ketika bertugas sebagai Ketua Unit Foto NSTP. FOTO Arkib NSTP
Mohd Yusof @ Abu Samah Mohd Nor ketika bertugas sebagai Ketua Unit Foto NSTP. FOTO Arkib NSTP
Saadiah Ismail

Kuala Lumpur: Bekas Ketua Unit Foto kumpulan akhbar NSTP, Mohd Yusof@Abu Samah Mohd Nor, 87, meninggal dunia di kediamannya di Gombak, hari ini.

Anak sulungnya, Mohd Nizam berkata, arwah meninggal dunia akibat komplikasi darah tinggi dan kencing manis yang dihidapinya selama ini.

Katanya, bapanya mengalami cirit-birit dalam tempoh dua hari lalu dan kerap ke tandas.

"Pada 3 pagi tadi, emak panggil saya kerana ayah seperti tidak sedarkan diri di dalam tandas.

"Pasukan perubatan datang dan mengesahkan ayah meninggal dunia sekitar 4 pagi tadi," katanya kepada BH, di sini.

Allahyarham Mohd Yusoff@Abu Samah difahamkan menamatkan kerjayanya di NSTP pada awal 1990-an.

Beliau yang menetap bersama anak sulungnya itu, meninggalkan seorang isteri, Fatimah Ranting, 86, dua anak, lima cucu dan tiga cicit.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Danau Kota, Setapak selepas waktu Zohor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 1:32 PM