PPV PIKAS di Dewan D'Cattleya Senawang menyediakan suntikan sehingga 1,500 suntikan sehari. FOTO MOHD AMIN JALIL.
PPV PIKAS di Dewan D'Cattleya Senawang menyediakan suntikan sehingga 1,500 suntikan sehari. FOTO MOHD AMIN JALIL.
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Seramai 54,867 atau 85 peratus pekerja industri di negeri ini sudah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 setakat semalam.

Untuk rekod, secara keseluruhan, ada kira-kira 73,000 pekerja industri di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, 28,938 daripadanya sudah melengkapkan dua dos suntikan.

Kata beliau, ada dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Imunisasi Industri Covid-19 Awam-Swasta (Pikas) yang masih beroperasi iaitu di d'Tempat Country Club, Sendayan dan Dewan D'Cattleya Senawang di sini.

"Selain itu, ramai kalangan pekerja industri yang turut mendapatkan suntikan vaksin di PPV awam di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick).

"Program pemvaksinan untuk pekerja industri di Negeri Sembilan berjalan lancar.

"Jadual keseluruhan pekerja industri di negeri ini memperoleh vaksin penuh menjelang pertengahan September ini dijangka berjalan seperti yang dirancang," katanya pada kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Rafie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ampangan berkata, kerajaan negeri berusaha memastikan setiap premis industri memperoleh pencapaian 100 peratus suntikan vaksin bagi membolehkan sektor itu beroperasi semula secara optimum.

Beliau berkata, antara tiga syarat utama ditetapkan untuk menjadikan premis kilang sebagai kawasan bebas Covid-19 ialah mencapai 100 peratus pekerja menerima dua dos suntikan vaksin.

Selain itu katanya, setiap individu yang memasuki premis perkilangan perlu terlebih dahulu disaring uji dan bebas gejala pandemik.

"Syarat seterusnya ialah mematuhi prosedur standard operasi (SOP) kesihatan ditetapkan pihak berkuasa.

"Sektor ekonomi tidak boleh dihentikan sebaliknya ia perlu dirangsang semula untuk memulihkan ekonomi masyarakat dan negara," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Rafie memaklumkan, 234 permohonan Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) terbaharu sudah diluluskan semalam, membabitkan dana berjumlah RM640,885.

Katanya, sebelum ini, RM939,889 geran bantuan itu sudah disalurkan kepada 372 pemohon yang berjaya.

"Secara keseluruhan, 606 usahawan mikro dengan dana geran berjumlah lebih RM1.5 juta sudah diluluskan setakat ini.

"Lima ratus permohonan lagi akan disemak dan diluluskan pada 25 Oktober ini dan dianggarkan, secara keseluruhan, 1,000 usahawan mikro akan mendapat manfaat daripada geran bantuan TUNS membabitkan dana RM3 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 1:26 PM