BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak 40.8 peratus populasi keseluruhan di Malaysia atau 13,315,774 orang sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Jawatankuasa itu yang berkongsi maklumat berkenaan di Facebook (FB) rasminya memaklumkan setakat semalam juga, 18,476,589 individu sudah menerima dos pertama, menjadikan kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini sebanyak 31,792,363 dos.

Menurut perkongsian maklumat itu, peratusan populasi dewasa yang menerima kedua-dua dos meningkat kepada 56.9 peratus setakat semalam.

Dalam pada itu, vaksinasi harian semalam pula mencatatkan penurunan kepada 396,576 dos berbanding 441,100 dos diberikan dua hari lalu, dengan 246,109 daripadanya adalah dos kedua.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 10:41 AM