SYED Saddiq Syed Abdul Rahman. FOTO Arkib NSTP
SYED Saddiq Syed Abdul Rahman. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memohon supaya kes pecah amanah dana sebuah parti politik berjumlah RM1 juta, menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan pengubahan wang haram yang dihadapinya dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini.

Dalam notis permohonan yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis lalu menerusi Tetuan Haijan Omar & Co, Syed Saddiq, 29, turut memohon supaya semua prosiding kes itu di Mahkamah Sesyen ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonan tersebut.

Peguam Haijan Omar yang mewakili Syed Saddiq ketika dihubungi pemberita berkata kes itu perlu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi atas alasan terdapat isu perlembagaan yang akan timbul dalam kes itu dan ia lebih sesuai dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Katanya, permohonan itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Catherine Nicholas, Rabu ini.

Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang diamanahkan penguasaan ke atas dana ARMADA, melakukan pecah amanah ke atas dana itu, dengan membuat pengeluaran wang berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad, tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu juga menghadapi pertuduhan menyalahgunakan harta iaitu wang sumbangan untuk kempen PRU14 sebanyak RM120,000 yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 April sehingga 21 April 2018, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pada 5 Ogos lalu, di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Syed Saddiq didakwa atas dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, iaitu hasil daripada aktiviti haram.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling di sini pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 10:18 PM