GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Amin Jalil

Kuala Pilah: Pelawak yang sebelum ini didakwa terbabit kes pemerdagangan manusia untuk tujuan seks hanya dipanggil untuk membantu siasatan dan tidak akan didakwa di mahkamah.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata sebaliknya dua individu iaitu seorang lelaki dan wanita akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, esok berhubung kes itu.

Menurutnya, kedua-dua individu itu dijangka didakwa pada jam 9 pagi mengikut Seksyen 372 (1) (f) Kanun Keseksaan dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan.

"Penahanan pelawak terbabit sebelum ini hanya bagi membantu siasatan kes berkenaan dan dia tidak akan didakwa di mahkamah esok," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan seorang pelawak berusia 40-an ditahan bagi membantu siasatan kegiatan pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks di sebuah hotel di Kuala Pilah dalam serbuan Op Pintas.

Dalam operasi berkenaan, polis turut menyelamatkan seorang wanita berketurunan Melanau di sebuah bilik hotel di daerah berkenaan dan kini wanita berkenaan mendapat perintah perlindungan sementara serta ditempatkan di sebuah rumah perlindungan di Johor.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pelawak berkenaan turut dikenakan kompaun atas kesalahan rentas negeri tanpa kebenaran di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 9:19 PM