GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Sebanyak 26 lokaliti di Sabah dan satu lokaliti di Pahang akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Rabu ini sehingga 7 September.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad berkata, pelaksanaan PKPD itu berdasarkan penilaian risiko dan trend jangkitan Covid-19.

"Di Kota Kinabalu, terdapat enam lokaliti dikenakan PKPD iaitu di Kampung Cenderamata 2, dan Kampung Cempaka, Likas; Kampung Inanam Laut; Kampung Bambangan, Inanam; Kampung Kelingau; Kampung Lapasan dan Taman Kuala Menggatal.

"Selain, empat lokaliti di Penampang iaitu Delta Height; Kampung Sindaan; Rainfields Garden dan Maju Kota Lights Industry, Jalan Lama Penampang.

"Turut dikenakan PKPD ialah empat lokaliti di Tawau iaitu Kampung Tanjung Batu Tengah; Taman Ranggu Saujana, Pulau Sebatik; Kampung Sungai Tamang, Pulau Sebatik dan Tanjung Batu Laut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rodzi berkata, tiga lokaliti di Kinabatangan iaitu Kampung Pelangi, Kampung Sri Manis dan Ladang Sungai Pin serta dua lokaliti di Lahad Datu iaitu Perumahan Ladang Felda Sahabat 55, dan Taman Perumahan Satu juga dikenakan PKPD.

"Empat lagi lokaliti di Sabah dikenakan PKPD adalah Tanan Limauan, Kinarut, Papar; Kampung Mondikot, Papar; Ladang Mawang, Kalabakan dan Kem Sawmill (kilang papan) Menganyam Sri Arjuna, Sipitang.

"Di Pahang pula, Felda Kota Gelanggi 2, Jerantut dikenakan PKPD dalam tempoh sama," katanya.

Beliau berkata, Kampung Temalian, Mukim Ulu Dong, Raub, Pahang yang dikenakan PKPD sehingga esok akan dilanjutkan bermula Rabu ini hingga 31 Ogos depan.

"Dua lokaliti di Sabah iaitu Taman Kinarut Ria, Papar dan Kampung Kota Tuaran, Tuaran, yang dikenakan PKPD sehingga esok pula akan dilanjutkan bermula Rabu ini hingga 31 Ogos nanti.

"Sebanyak 22 lokaliti Perkampungan Orang Asli (OA) dalam daerah Batang Padang, Perak yang dikenakan PKPD sehingga esok dilanjutkan bermula Rabu ini sehingga 7 September.

"Ia membabitkan tiga lokaliti di Mukim Bidor iaitu Kampung Senta, Kampung Chang serta Kampung Sanding dan Kampung OA Menderang.

"Manakala 18 lokaliti di Mukim Batang Padang iaitu Kampung OA Batu 6, Kampung OA Batu 14, Kampung OA Batu 16, Kampung OA Batu 17, Kampung OA Batu 18, Kampung OA Batu 18, Kampung OA Batu 19, Kampung Kenderong, Kampung Sungai Rensa, Kampung Sungai Chendon, Kampung Sungai Odak, Kampung Ampangan, Kampung Pos Woh, Kampung OA Batu 7 & 7 1/2, Kampung Sungai Bot Dalam, Kampung Bot Sungai Luar, Kampung Sungai Tidong, Kampung Lubuk Gaharu dan Kampung Woh Intake," katanya.

Katanya, Kuarters Pekerja Ladang Palmlyn, Mukah, Sarawak, yang mula dikenakan PKPD pada 4 Ogos lalu akan ditamatkan esok iaitu lebih awal daripada dijadualkan pada 31 Ogos ini.

"PKPD di Tapak Bina IBN Highlands, Genting Highlands, Bentong, Pahang yang bermula 28 Julai lalu pula ditamatkan esok seperti yang dijadualkan.

"Enam lokaliti yang dikenakan PKPD bermula 11 Ogos lalu iaitu Taman Sri Bayu, Tumpat, Kelantan; Taman Meru 2B, Kinta, Perak; Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Balung, Tawau, Sabah; PPR Taman Sri Titingan, Tawau, Sabah; Kem 2 Tolokoson, Tenom, Sabah dan Kampung Sarikan, Nabawan, Sabah juga ditamatkan esok seperti yang dijadualkan.

"PKPD lokaliti di Tuaran, Sabah, iaitu Kampung Lapasan dan Kampung Timbok yang bermula sejak 30 Julai lalu akan ditamatkan esok iaitu lebih awal berbanding jadual pada 26 Ogos ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 8:14 PM