GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kira-kira 18 peratus penduduk negeri ini belum mendaftar sebagai penerima vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Dr Hayati Othman berkata, pihaknya berharap penduduk berusia 18 dan ke atas segera mendaftar sebagai penerima vaksin bagi membentuk imuniti berkelompok.

"Sehingga Sabtu lalu, seramai 59.3 peratus daripada 1,540,600 warga dewasa berumur 18 tahun ke atas sudah mendapat satu dos vaksin dan 36.3 peratus sudah melengkapkan dua dos suntikan.

"Kira-kira 40 peratus penduduk yang layak divaksin dijangka akan menerima vaksin yang lengkap pada penghujung bulan ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Hayati berkata, sebanyak 10 daerah terutamanya Pendang mencatatkan peningkatan kes Covid-19 pada minggu lalu (15 hingga 21 Ogos) berbanding minggu sebelumnya.

Katanya, Kedah mencatat 12,852 kes Covid-19 minggu lalu, iaitu peningkatan sebanyak tujuh peratus berbanding jumlah 12,048 kes pada minggu sebelumnya.

"Secara umumnya, semua daerah di Kedah menunjukkan tren meningkat kecuali daerah Kuala Muda dan Yan.

"Daerah Pendang mencatat peningkatan kes tertinggi iaitu 28 peratus, diikuti Baling 25 peratus dan Langkawi 21 peratus," katanya.

Selain itu, Dr Mohd Hayati berkata, kes jangkitan Covid-19 di negeri ini juga meningkat berikutan jangkitan yang berlaku dalam masyarakat.

"Sebanyak 7,206 kes atau 56 peratus kes baharu di Kedah adalah saringan kontak rapat yang dikesan sepanjang minggu lepas.

"Kira-kira 20 peratus bersamaan 2,622 kes baharu dikesan membabitkan saringan bergejala, 1179 kes atau sembilan peratus daripada saringan kendiri, tujuh peratus daripada saringan kluster dan lima peratus menerusi saringan tempat kerja," katanya.

Dr Mohd Hayati turut memaklumkan terdapat sembilan kluster baharu dilaporkan membabitkan empat kluster komuniti, dua kluster industri, dua kluster pusat tahanan dan satu kluster tapak bina.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 8:13 PM