Abdul Aziz menyembur bahan sanitasi pada tubuh penerima vaksin pada Program MOVAK di Dewan JAPERUN Ayer Limau, Lubok Cina, dekat Masjid Tanah hari ini. FOTO HASSAN OMAR
Abdul Aziz menyembur bahan sanitasi pada tubuh penerima vaksin pada Program MOVAK di Dewan JAPERUN Ayer Limau, Lubok Cina, dekat Masjid Tanah hari ini. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar


Masjid Tanah: Kehilangan anak akibat virus covid-19 menyebabkan seorang bapa bertekad menjadi sukarelawan membantu program pemberian vaksin bagi menyelamatkan nyawa anggota komuniti lain.

Meskipun amat pedih menerima kenyataan anak kedua, Allahyarham Neti Anita, 43, dijemput ajal akibat pandemik berbahaya itu, Abdul Aziz Rashid, 68, tetap tabah dan bersemangat tinggi membantu program berkenaan.

Walaupun bertugas sebagai pemandu van namun warga emas ini tetap bersemangat menjadi sukarelawan Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Limau, Lubok Cina, di sini.

Dia berkata, arwah anaknya meninggal dunia akibat pandemik berkenaan pada 23 Julai lalu selepas dua hari dirawat di Hospital Melaka.

"Arwah memang menghidap penyakit jantung dan apabila diserang covid-19, arwah tidak mampu bertahan. Dia meninggal dunia hanya dalam tempoh tiga hari selepas diserang virus itu.

"Arwah ditidurkan pada 22 Julai lalu dan meninggal dunia keesokan paginya," katanya sebak.

Dia berkata, arwah meninggalkannya dan isteri keduanya, Rohayati Mohd Jan, 56, dalam keadaan mengejut.

"Sebelum ini isteri pertama, Allahyarhamah Tawiyah Jantan meninggal dunia akibat serangan jantung pada 1999 sebelum diikuti anak sulung saya, Allahyarhamah Nor Aziah akibat barah rahim pada 2017.

"Saya kini tiada zuriat kerana perkahwinan dengan Rohayati tidak dikurniakan anak. Bagi mengubati duka lara di sanubari, saya gagahkan diri untuk membantu orang lain menerima vaksin," katanya.

Abdul Aziz berkata, setiap kali mengambil bahagian dalam program itu, kesedihan yang bersarang dalam sanubarinya mampu diubati.

"Saya tidak sangka tindakan arwah memohon maaf atas segala kesilapannya pada masa lalu semasa panggilan video sebelum ditidurkan adalah kata-katanya yang terakhir," katanya.

Dia berkata, segala kesilapan arwah sudah dimaafkan dan dia berdoa pandemik covid-19 segera berakhir serta tidak lagi meragut lebih banyak nyawa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 4:41 PM