Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah nasib seorang isteri yang terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga apabila suaminya kini hanya terlantar.

Bagaimanapun, Nur Hidayu Sukri, 30, setia menjaga suami, Mohammad Rosli Yaacob, 42, yang tidak dapat mengurus diri sendiri selepas bahagian perut dan kakinya membengkak sejak Julai lalu, selain menghadapi kegagalan buah pinggang.

Menurutnya, dia terpaksa kuat demi suami serta dua anak berusia empat dan tujuh tahun, selain mengambil inisiatif dengan membuat roti dan kek untuk dijual bagi mencari wang selepas suami tidak lagi bekerja.

"Suami saya juga menghidap kencing manis serta darah tinggi selain pernah menjalani pembedahan pada 2015 akibat kanser leher.

"Selepas pembedahan berkenaan dia sihat seperti biasa namun diuji lagi kerana jatuh di rumah pada Julai lalu, menyebabkan dia perlu menjalani pembedahan tisu di bahagian paha.

"Nasib tidak menyebelahinya apabila berlaku jangkitan kuman selepas pembedahan berkenaan menyebabkan bahagian perut dan kaki membengkak sehingga dia tidak lagi mampu berdiri.

"Kini, saya perlu menguruskan dirinya 100 peratus kerana dia hanya mampu terbaring di katil.

"Lebih memeritkan, apabila saya terpaksa meminta bantuan saudara dan keluarga yang tinggal berdekatan untuk mengangkatnya kerana suami saya juga mempunyai masalah obesiti," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Air di sini, hari ini.

Nur Hidayu berkata, suaminya sebelum ini bekerja sebagai pembantu am di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Periok, sebelum berhenti akibat sakit yang dihidapinya.

Menurutnya, nasib keluarganya itu sudah mendapat perhatian daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mana dimaklumkan permohonan bantuan sedang diproses.

"Ada masanya saya juga buntu memikirkan nasib suami dan merasa kasihan melihat dia yang terpaksa menanggung kesakitan. Saya hanya mampu terus berada bersamanya dan memberi kata-kata semangat agar bersabar dengan ujian ini.

"Saya tidak dapat menahan sebak apabila anak-anak sering mengadu rindu akan bapanya yang dulu, ketika masih sihat dan mampu membawa mereka berjalan-jalan," katanya yang tinggal di rumah sewa dengan bayaran RM400 sebulan.

Nur Hidayu juga perlu menyediakan kos lampin pakai buang sebanyak RM250 sebulan memandangkan sukar untuk dia mengangkat suami ke tandas selain mengharapkan bantuan katil khas untuk keselesaan Mohammad Rosli.

Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh dilakukan melalui nombor akaun 03-081-02-037877-1 (Bank Islam) milik, Mohammad Rosli Yaacob.

Rosli Yaacob yang tidak dapat mengurus diri sendiri selepas bahagian perut dan kakinya membengkak sejak Julai lalu. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Rosli Yaacob yang tidak dapat mengurus diri sendiri selepas bahagian perut dan kakinya membengkak sejak Julai lalu. FOTO SYAHERAH MUSTAFA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 1:35 PM