GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Georgetown: Kemasukan penuntut antarabangsa ke Universiti Sains Malaysia (USM) meningkat lebih dua kali ganda di sebalik pandemik Covid-19 yang sedang melanda dunia ketika ini.

Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, jumlah kemasukan penuntut antarabangsa di USM meningkat kepada 1,086 pelajar bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, berbanding 338 pelajar bagi tempoh sama pada 2020.

"Pelbagai kaedah digunakan USM bagi memastikan peningkatan jumlah pelajar antarabangsa, antaranya mempelbagaikan aktiviti promosi secara berkala dan mempermudahkan proses pendaftaran diri pelajar secara dalam talian.

"Selain itu, USM juga meningkatkan kecekapan dalam kaedah pemprosesan permohonan dan mengoptimumkan pelbagai saluran komunikasi digital serta interaksi bersama bakal pelajar seperti e-mel, Facebook, Facebook Messenger, Sistem Pesanan Ringkas (SMS), WeChat, WhatsApp dan Zoom," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Menurutnya, kejayaan USM itu juga hasil usaha berterusan ahli akademik dan kerjasama pusat pengajian USM dalam memastikan pembelajaran dapat terus dilaksanakan dengan sebaik mungkin walaupun dalam suasana pandemik yang agak mencabar.

Antaranya ialah Institut Pengajian Siswazah (IPS); Pusat Mobiliti dan Kolaborasi Antarabangsa (IMCC); Pejabat Pembangunan Korporat Strategik; Bahagian Akademik dan Antarabangsa; Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni; Usains Holdings Sdn Bhd; Bahagian Penyelidikan dan Inovasi serta Bahagian Kelestarian dan Pembangunan Institusi USM.

Turut membantu kejayaan USM, ialah pelbagai agensi luar termasuk Education Malaysia Global Services (EMGS) dan Jabatan Imigresen Malaysia, katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM Profesor Datuk Dr Narimah Samat berkata sejak bermulanya pandemik Covid-19 pada awal Mac 2020, USM melaksanakan kaedah pembelajaran teradun (blended learning) iaitu menggabungkan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian dan bersemuka mengikut keperluan dan kesesuaian pelajar antarabangsa manakala penyeliaan penuntut penyelidikan dijalankan secara maya.

Katanya, bagi program ijazah tinggi, USM menerima kemasukan penuntut antarabangsa tertinggi antaranya dari China, Jordan, Iraq, Nigeria dan Pakistan.

"Bidang yang menjadi pilihan utama pelajar antarabangsa di USM pula adalah Pengurusan, Pendidikan, Sains Komputer, Bahasa Inggeris untuk Profesional dan Seni," katanya.

Narimah berkata, usaha mempromosi kemasukan penuntut antarabangsa ijazah tinggi bagi kursus dan program berasaskan penyelidikan turut dipergiatkan secara maya, khususnya bidang Seni, Kemanusiaan, Pengurusan dan bidang lain yang kurang terkesan dengan sekatan pergerakan dalam penggunaan makmal ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Pihak universiti juga memanfaatkan tempoh 'lockdown' makmal Sains dan Kejuruteraan dengan menjalankan kerja-kerja menaik taraf ruang dan peralatan sedia ada di beberapa fakulti yang dikenal pasti, supaya dapat memberi suasana pembelajaran dan penyelidikan yang kondusif dan terbaik untuk menarik pelajar antarabangsa menyambung pengajian di USM," tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Pembangunan Korporat Strategik USM Sabri Said berkata, pihak universiti akan terus memastikan jumlah kemasukan penuntut antarabangsa sentiasa berada pada tahap terbaik melalui kolaborasi antarabangsa dengan pelbagai rakan strategik selain menawarkan program akademik USM di luar negara.

"Usaha proaktif ini bagi memastikan USM kekal kompetitif dan menjadi destinasi pilihan pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah dan ijazah tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 12:44 PM