Lim Guan Eng. FOTO Aswadi Alias.
Lim Guan Eng. FOTO Aswadi Alias.
Amir Abd Hamid dan Suraya Roslan


Kuala Lumpur: DAP bersedia mempertimbangkan tawaran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya pembangkang menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 (JKMC).

"Asalkan bukan sekadar tangkap muat dan menjadi 'rubber stamp' kerajaan semata-mata. Yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua," kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam kenyataan dimuat naik di Twitter, hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Bagan itu, pertimbangan akan dibuat demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian penduduk Malaysia yang terjejas disebabkan krisis pandemik Covid-19.

Sementara itu, Naib Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Mutalib Uthman berharap badan ditubuhkan kelak tidak menjadi seperti Jawatankuasa Darurat sebelum ini.

Katanya, kerajaan juga perlu ikhlas dengan tawaran itu selain saksama dalam pemberian peruntukan bagi setiap kawasan parlimen tanpa mengira ideologi politik.

Sebelum itu beliau berharap Muda diluluskan untuk meneruskan perjuangannya ke arah menjadikan Malaysia lebih baik.

Terdahulu, dalam ucapannya Ismail Sabri menawarkan ruang kepada kepemimpinan pembangkang untuk menganggotai MPN dan JKMC serta berharap kerjasama rentas parti untuk memastikan Malaysia segera keluar daripada kemelut kesihatan dan ekonomi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 9:09 PM