Amir Abd Hamid dan Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Penggunaan frasa Keluarga Malaysia dalam ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini, menunjukkan ikatan yang kukuh antara rakyat dan keakrabannya umpama air yang dicincang tidak akan putus.

Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, pendekatan Keluarga Malaysia sangat baik kerana menggambarkan nilai-nilai positif kekeluargaan.

Beliau berkata, nilai kasih sayang perlu dizahir dan diperkukuhkan terutama ketika negara berada dalam keadaan sukar.

"Seperti yang kita tahu, keluarga adalah tempat kita bergantung harap. Mempunyai empati tinggi yang sentiasa menjaga antara satu sama lain.

"Sebagai satu keluarga, susah senang bersama dan keluargalah yang kita akan cari jika berada dalam kesusahan.

"Sebagai satu keluarga juga, kita perlu bertolak ansur antara satu sama lain kerana mungkin ada dalam ahli keluarga yang berbeza pandangan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

DATUK Seri Ismail Sabri.
DATUK Seri Ismail Sabri.

Terdapat tujuh kali frasa Keluarga Malaysia diulangi Ismail Sabri dalam ucapan sulung beliau sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Sementara itu, penganalisis politik Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, tindakan kerajaan menawarkan ruang kepada pemimpin pembangkang untuk menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 dilihat satu langkah yang bijak dan berjiwa besar.

Bagaimanapun, katanya, terpulang kepada pembangkang sama ada mahu menerima tawaran itu atau tidak.

"Perdana Menteri mampu menggunakan autoriti dan kuasa di bawah kerajaan untuk melaksanakan dan memantau bersama-sama.

"Ada banyak pihak menawarkan mengenai penubuhan MPN termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Cuma kita harap keanggotaan selaras dengan kepentingan kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang," katanya.

Menurutnya, tidak mustahil juga Ketua Pembangkang dilantik untuk mengetuai MPN bagi mengeratkan kerjasama semua parti dengan lebih baik.

Mengulas jaminan Perdana Menteri mengenai pembabitan dan suara anak muda amat diperlukan kerajaan, Sivamurugan berharap barisan kepimpinan kabinet baru juga dapat menempatkan lebih ramai menteri muda bagi meraih sokongan pengundi.

"Melantik dua atau tiga menteri yang muda-muda pastinya memberi impak besar kepada kabinet kerajaan nanti termasuk menarik sokongan pengundi belia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 7:21 PM