Mohd Amin Jalil


Seremban: Seramai 575,278 orang atau 70.6 peratus daripada populasi penduduk negeri ini yang berusia 18 tahun ke atas sudah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 setakat ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, seramai 721,697 orang atau 88.6 peratus pula sudah menerima dos pertama.

"Program Imuniasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini dilihat berjalan lancar apabila lebih daripada 51 peratus populasi penduduk di Negeri Sembilan sudah lengkap divaksinkan.

"Bagaimanapun, bekalan vaksin yang diterima oleh Negeri Sembilan pada minggu ini sedikit berkurangan daripada biasa sekali gus menyebabkan beberapa pusat pemberian vaksin (PPV) terpaksa ditutup sementara pada semalam dan hari ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri sudah memohon kepada Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) supaya meningkatkan dos yang diterima pada minggu yang akan datang.

GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

"Kita berharap perkara ini mendapat pertimbangan daripada CITF supaya hasrat untuk mencapai imuniti kelompok dengan kadar segera, dapat dicapai," katanya.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, seramai 5,411 pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan menerima Bantuan Anak Sekolah (BAS) setakat ini.

Menurutnya, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1.3 juta untuk menjayakan program bantuan berkenaan.

"Dana ini membabitkan bantuan pelajar termiskin dari setiap Dewan Undangan Negeri (Dun) bermula daripada tahun satu sehingga tingkatan tiga bagi memastikan tiada anak di negeri ini keciciran sekolah akibat masalah kewangan.

"Setiap pelajar yang layak akan menerima RM50 setiap bulan bagi membantu kebajikan mereka tidak kira dari aspek tambang bas ataupun wang belanja.

"Pada tahun ini, seramai 2,363 orang pelajar sudah menerima manfaat daripada inisiatif itu yang diadakan sejak 2019," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 6:36 PM