FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Lebih 12,000 anggota serta pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara bersiap siaga untuk dikerahkan bagi tujuan memantau dan menyelamat di kawasan berisiko susulan musim tengkujuh mula melanda negara ini.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, ia merangkumi kesiapsiagaan mengatur gerak di kawasan dilanda banjir kilat, banjir lumpur mahupun tanah runtuh.

Beliau berkata, pihaknya bergantung kepada maklumat disediakan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) untuk menggerakkan sepenuhnya lebih 1,000 aset JBPM, selain anggota dan pegawai ke lokasi-lokasi panas kawasan banjir dan bencana alam yang dikenal pasti.

"Maklumat diterima untuk tindakan kami termasuk mengenai jumlah taburan hujan di sesetengah kawasan, pasang surut air dan berkaitan monsun yang akan melanda," katanya kepada Bernama.

Persediaan ini membabitkan 324 balai seluruh negara selain 16 Pusat Gerakan Operasi (PGO) setiap negeri.

Mengenai bencana banjir di sekitar Gunung Jerai, di Yan, Kedah, Hamdan berkata, situasi banjir melanda di beberapa negeri seperti Kedah, Perak, Pulau Pinang serta Selangor, baru-baru ini adalah disebabkan kadar taburan hujan yang bukan seperti kebiasaan.

"JBPM kini sedang memberi fokus mengesan mangsa yang hilang dibawa arus banjir di Kedah termasuk menggunakan helikopter serta khidmat dron canggih yang boleh mengesan suhu badan manusia di luar batas kemampuan pasukan keselamatan," katanya.

Pada 18 Ogos lalu, beberapa kawasan kampung dan taman perumahan di sekitar Gunung Jerai dilanda banjir dipercayai akibat fenomena kepala air dari kawasan air terjun di kaki gunung itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 2:51 PM