FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Sebanyak 16 kes varian membimbangkan (VOC) membabitkan varian Delta, dikesan di negeri ini, sehingga Khamis lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata, varian berkenaan menyebabkan penularan yang pantas dalam kalangan warga pekerja industri.

"Terdapat kes VOC membabitkan varian Delta di Johor, yang mana sehingga 19 Ogos lalu sebanyak 16 kes penularan dilaporkan di negeri ini.

"Ia membabitkan kes VOC di Tangkak sebanyak 11 kes, Segamat (dua) dan masing-masing satu kes di Muar, Batu Pahat dan Pontian.

"Bagaimanapun, bilangan VOC yang dilaporkan di negeri ini adalah kecil dan masih lagi terkawal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Abd Taib Abu Bakar (BN-Machap) berhubung peningkatan ketara kadar kes Covid-19 di Johor, pada Persidangan Keempat DUN Johor yang ke-14, hari ini.

Sementara itu, Vidyananthan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kahang mengakui terdapat peningkatan kes secara mendadak dilaporkan di Johor.

Katanya, kenaikan kes di negeri ini biasanya menyusul berikutan peningkatan kes di negeri lain di negara ini.

"Terkini, penularan kes yang tinggi dicatatkan ketika gelombang ketiga Covid-19 di Johor, berkait rapat dengan peningkatan kes di Greater Klang Valley (GKV).

"Penularan dalam kalangan sektor industri di negeri ini berkait rapat apabila ramai pekerja industri yang bergerak merentasi negeri ke lokasi zon merah bagi tujuan mendapat vaksinasi.

"Dengan kemasukan kes Covid-19 ke negeri ini, beberapa faktor dalaman mempermudahkan penularan dalam kalangan masyarakat tempatan, termasuk penularan sektor industri, yang mana 142 kluster industri dilaporkan masih lagi aktif sehingga kini," katanya.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNK) mendapati pekerja industri yang merentasi negeri ke lokasi zon merah membawa balik virus Covid-19 dan seterusnya menularkan jangkitan kepada rakan sekerja dan rakan serumah bagi mereka yang tinggal di asrama pekerja.

"Penularan kes kluster membabitkan komuniti di Johor pula banyak disebabkan aktiviti ziarah menziarahi semasa musim perayaan atau upacara pengebumian.

"Aktiviti sosial juga masih banyak berlaku walaupun di dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali gus menggambarkan sikap masyarakat yang masih mengambil mudah dan alpa terhadap prosedur operasi standard (SOP), menyebabkan rantaian wabak sukar diputuskan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 12:48 PM