Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Pemandu teksi di Kelantan meluahkan kebimbangan mengenai nasib mereka yang bagaikan telur di hujung tanduk apabila masih 'ketandusan' pelanggan walaupun negeri berkenaan sudah berada pada fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak 10 Ogos lalu.

Kebanyakan pemandu teksi di sekitar Kota Bharu mengakui, mereka hanya memperoleh seorang sehingga tiga orang pelanggan sehari, malah lebih memeritkan apabila ada kalanya langsung tiada pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan teksi.

Pemandu teksi, Muhammad Ya'cob, 60, berkata, dilema ketiadaan pelanggan sebenarnya berlaku pada Mac tahun lagi, ketika Covid-19 baru sahaja melanda negara, namun keadaan semakin teruk sejak kebelakangan ini apabila jumlah kes Covid-19 yang semakin bertambah.

"Pelanggan kami masih tiada walaupun negeri ini sudah beralih ke fasa dua, mungkin kerana orang ramai masih takut dengan penularan wabak apabila Kelantan masih mencatatkan kes yang tinggi sehingga hari ini.

"Malah, kami sebagai pemandu teksi juga bimbang dengan keselamatan diri tetapi terpaksa keluar bekerja demi mencari sesuap nasi, walaupun tahu pelanggan yang tidak ramai. Kami tetap keluar mencuba nasib jika ada yang mahu menaiki teksi.

"Jumlah pemandu teksi juga semakin berkurangan hari demi hari, kerana ada antara kami yang sudah berputus asa susulan kehilangan pelanggan secara mendadak," katanya ketika ditemui di stesen kereta sewa Kota Bharu, di sini, semalam.

Muhammad yang juga ahli jawatankuasa Persatuan Kebajikan Pemandu Teksi Kota Bharu berkata, ahli persatuan itu yang pada asalnya lebih 100 orang kini hanya tinggal 20 pemandu sahaja sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

Sementara itu, bagi Husin Abdullah, 62, yang sudah hampir 40 tahun bekerja sebagai pemandu teksi, mengakui tempoh pandemik itu adalah yang paling getir sepanjang kerjayanya.

"Tidak pernah lagi sepanjang saya membawa teksi, hanya mendapat beberapa pelanggan dalam seminggu. Lebih teruk apabila banyak masa yang dihabiskan tanpa seorang pelanggan pun sehari.

"Bagaimanapun, kami akur dengan keadaan semasa malah bersetuju dengan tindakan orang ramai yang tidak keluar tanpa tujuan demi memastikan penularan wabak dapat diputuskan, tetapi dalam masa sama berharap agar keadaan segera pulih demi kelangsungan hidup pemandu teksi.

"Kami cuba bertahan selagi mampu walaupun sudah seperti cacing kepanasan memikirkan nasib perkhidmatan teksi yang boleh terkubur bila-bila masa sahaja jika keadaan sebegini berterusan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

    Muhammad membersihkan teksi miliknya. FOTO Syaherah Mustafa
    Muhammad membersihkan teksi miliknya. FOTO Syaherah Mustafa

  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 12:12 PM