GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Lembah Klang akan mula ditutup secara berperingkat, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, ini kerana, kadar vaksinasi di Lembah Klang sudah menghampiri sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala pengamal perubatan swasta kini sedang mempersiapkan keperluan vaksinasi pada masa depan.

"Pengamal perubatan swasta melalui ProtectHealth (ProtectHealth Corporation Sdn Bhd) sudah menjalankan tugas dengan cemerlang dalam membantu kerajaan mencapai sasaran vaksinasi di Selangor dan Lembah Klang.

"Berikutan itu kita akan menutup PPV secara beransur-ansur dan pengamal perubatan swasta akan mempersiapkan keperluan vaksin Covid-19 pada masa depan seperti memberikan suntikan kepada pendaftar baharu MySejahtera yang layak, individu berusia 12 hingga 17 tahun serta suntikan penggalak vaksin Covid-19," katanya menerusi ciapan di Twitter, semalam.

Sehingga semalam, sebanyak 107.7 peratus populasi dewasa di Lembah Klang sudah menerima sekurang-kurangnya dos pertama manakala 81.3 peratus pula sudah lengkap mendapat dos kedua.

Daripada jumlah suntikan di Lembah Klang, sebanyak 6,641, 887 individu sudah menerima suntikan pertama manakala 5,014,230 individu lagi sudah lengkap dua dos.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 11:01 AM