DADAH yang dirampas dalam empat serbuan sekitar Lembah Klang. FOTO Ihsan Polis
DADAH yang dirampas dalam empat serbuan sekitar Lembah Klang. FOTO Ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kegiatan sindiket pengedaran dadah yang aktif di Lembah Klang sejak tiga bulan lalu tumpas selepas empat lelaki ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar pusat bandar ini dan Selangor pada Jumaat lalu serta semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sahar Abd Latif berkata, empat lelaki berusia antara 34 hingga 49 itu ditahan dalam serbuan berkenaan yang dijalankan hasil risikan selama tiga minggu terhadap sindiket terbabit.

"Dalam serbuan pertama di hadapan sebuah restoran di Taman City, Sentul, di sini, kami berjaya menahan suspek pertama dan merampas dadah jenis methaphetamin seberat tiga gram di dalam beg sandang lelaki berkenaan.

"Hasil soal siasat dilakukan, kami melakukan serbuan kedua yang membawa kepada penahanan seorang lelaki di Jalan KIP 1, Taman Perindustrian, Taman Wangsa Permai, Selangor," katanya dalam kenyataan.

Sahar berkata, ekoran itu pihaknya melakukan pemeriksaan sebuah kereta Perodua Alza di tempat letak kereta di hadapan sebuah restoran di Jalan KIP 1, Taman Perindustrian KIP, Taman Wangsa Permai, Selangor.

"Dalam serbuan itu, kami menahan seorang lagi lelaki dan merampas dadah jenis heroin seberat 2,720 gram yang ditemui di dalam kereta terbabit.

"Hasil soal siasat terhadap suspek berkenaan, kami menjalankan serbuan keempat di sebuah premis di Taman Mastiara, Jalan Kampung Batu, di sini, dan menahan seorang lagi lelaki.

"Susulan penahanan itu, kami membuat pemeriksaan di sebuah premis di Taman Danau Desa, Jalan Klang Lama, di sini, dan merampas dadah jenis methamphetamin seberat 2,010 gram," katanya.

Beliau berkata, dalam beberapa serbuan berkenaan, pihaknya merampas 2.01 kilogram (kg) methaphetamin dan heroin seberat 2.72 kg dianggarkan bernilai RM107,660 dan merampas kenderaan bernilai RM54,400 menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM162,060.

"Jumlah keseluruhan rampasan dadah berkenaan mampu menampung penggunaan seramai 9,466 penagih.

"Siasatan dilakukan mendapati premis itu dijadikan sebagai tempat penyimpanan dadah dan disewa selama tiga bulan oleh salah seorang suspek dengan bayaran sewa RM900 sebulan," katanya.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing dilakukan mendapati seorang daripada empat suspek berkenaan didapati positif dadah jenis methaphetamin.

"Semakan dilakukan mendapati tiga suspek mempunyai rekod berkaitan dadah dan jenayah.

"Suspek pertama direman selama tiga hari bermula semalam hingga esok, dua lagi suspek direman satu hari dan seorang suspek direman tujuh hari bermula semalam hingga 27 Ogos ini," katanya.

Katanya, dengan penahanan itu, pihak polis berjaya menumpaskan kegiatan satu sindiket pengedaran dadah yang dikesan aktif selama tiga bulan di sekitar Lembah Klang.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 39B akta sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 7:38 AM