Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diharap dapat menangani pandemik Covid-19 dengan segera selain 'menenangkan' situasi politik negara demi kesejahteraan rakyat.

Beberapa individu di sekitar Kota Bharu menyatakan sokongan terhadap pelantikan Ismail Sabri untuk menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri ketika negara sedang berjuang menentang wabak Covid-19.

Pemandu teksi, Mat Yusoff Daud, 72, mengakui Ismail Sabri antara calon paling layak dan berharap lantikan beliau itu dapat segera memulihkan kebimbangan rakyat serta ekonomi negara.

"Selain itu, beliau perlu memastikan politik negara dalam keadaan terkawal agar wujud satu kesefahaman daripada pelbagai parti kerana yang penting memulihkan negara selepas terkesan dengan pandemik Covid-19.

"Sebagai rakyat, kami terima apa sahaja keputusan kerajaan yang pasti sudah mengambil kira baik dan buruknya sebelum menyeru masyarakat melakukan sesuatu demi kesejahteraan bersama.

"Pada masa sama, sebagai pemandu teksi yang terkesan dengan situasi semasa, saya berharap Perdana Menteri baharu ini dapat membantu golongan seperti kami agar boleh meneruskan kehidupan dengan sebaiknya," katanya ketika ditemui di pusat teksi berdekatan Stesen Bas Kota Bharu, hari ini.

MAT Yusoff Daud (kanan) bersama rakanya sentiasa menantikan berita semasa melalui laman Facebook Berita Harian Online untuk mengetahui perkembangan tentang Perdana Menteri baharu. FOTO Syaherah Mustafa
MAT Yusoff Daud (kanan) bersama rakanya sentiasa menantikan berita semasa melalui laman Facebook Berita Harian Online untuk mengetahui perkembangan tentang Perdana Menteri baharu. FOTO Syaherah Mustafa

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan, susulan daripada peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yasin pada 16 Ogos lalu.

Pengusaha restoran, Abdullah Hamzah, 42, berkata dia menarik nafas lega sebaik Ismail Sabri dipilih kerana mempercayai kemampuan beliau untuk menerajui negara.

"Bagaimanapun, saya berharap beliau dapat meneruskan sifat keprihatinan terhadap rakyat sebagai dilakukan mantan Perdana Menteri sebelum ini, yang memperkenalkan pelbagai bantuan demi kelangsungan hidup pada waktu getir.

"Semoga Ismail Sabri terus diberi kekuatan dan kesabaran dalam menempuh pelbagai dugaan untuk memimpin Malaysia, selain berharap beliau dapat menangani isu Covid-19 dengan segera.

"Pada masa sama, kerajaan diharap dapat menyegerakan proses vaksinasi kepada mereka yang masih belum mendapat dos lengkap untuk melindungi diri daripada wabak itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 2:28 PM