GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu melakukan pemantauan terhadap harga dan ketulenan produk oximeter nadi yang berada di pasaran negara ini.

Ia susulan aduan diterima Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa alat pengukur kadar oksigen berkenaan dijual pada harga tinggi selain sukar diketahui sama ada asli atau palsu.

Pegawai Pendidikan CAP NV Subbarow berkata, penjualan alat berkenaan secara berleluasa tanpa sekatan termasuk dalam talian amat membimbangkan.

Menurutnya, keadaan itu akan menyebabkan banyak masalah lain boleh timbul kerana membeli barang berkaitan perubatan dari kedai yang tidak diketahui.

"CAP menasihati pengguna supaya membeli alat berkenaan dengan cadangan doktor dan pembelian dibuat secara betul terutama di farmasi.

"Membeli menerusi talian dan daripada orang yang tidak berpengalaman, mereka lebih cenderung menjual alat palsu kepada pengguna," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Subbarow berkata, selain menjual pada harga tinggi, pengguna juga berisiko diberikan alat palsu dan jika maklumat yang ditunjukkan adalah salah, ia boleh membahayakan nyawa.

Menurutnya, berikutan itu orang ramai disaran membeli alat berkenaan di farmasi bagi mendapatkan penerangan mengenai kaedah menggunakannya dengan jelas.

"KPDNHEP harus mengawal harga alat ujian kendiri ini kerana peranti itu dijual dengan harga yang berbeza dan pengguna tidak tahu berapa harga sebenarnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 2:02 PM