MUHAMMAD Sanusi Md Nor. FOTO Bernama
MUHAMMAD Sanusi Md Nor. FOTO Bernama
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Kerajaan negeri merakam ucapan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri menjunjung setinggi-tinggi kasih ke atas Yang di-Pertuan Agong atas kebijaksanaan dan kecekapan baginda menyelesaikan konflik politik negara dalam kadar waktu singkat.

Katanya, pihaknya juga merakamkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas khidmat bakti sepanjang menerajui pentadbiran negara selama hampir 18 bulan terutama atas kerja keras dan komitmen beliau mengemudi kerajaan menangani pandemik Covid-19.

"Diharapkan dengan pelantikan Perdana Menteri Kesembilan ini, tiada lagi isu berbangkit mengenai keabsahan kerajaan baharu Persekutuan Malaysia yang bakal dibentuk.

"Semua pihak diharap dapat menjalin permuafakatan yang jitu dengan penuh tanggungjawab untuk memberi tumpuan terhadap usaha membawa rakyat segera keluar dari krisis yang telah membelenggu kita semua selama hampir dua tahun," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi juga berharap, pentadbiran baharu ini akan sentiasa beroleh petunjuk, rahmat dan keberkatan serta dihindari daripada musibah yang boleh menyebabkan kacau ganggu terhadap usaha menjaga kepentingan rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 1:04 PM