GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA.
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Sebanyak 12 lokaliti di Sabah dan Pahang akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari mulai Ahad ini hingga 4 September.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad berkata, pelaksanaan PKPD itu berdasarkan penilaian risiko dan trend jangkitan Covid-19.

"Beberapa lokaliti yang dikenakan PKPD di Sabah membabitkan enam kampung di Kota Belud iaitu Kampung Kulambai; Kampung Kulambai Kupang; Kampung Kulambai Dundau; Kampung Labuan; Kampung Ambong Tolus dan Kampung Tuguson.

"Selain itu dua lokaliti di Lahad Datu iaitu Perumahan Ladang Cantawan, Silabukan dan Perumahan Lestari, Felda Sahabat 48.

"Dua lagi lokaliti di Tawau iaitu Taman Millenium dan Taman Kinabutan Ria serta Kampung Tangkuyan, Tongod," katanya dalam kenyataan hari ini.

Rodzi berkata, PKPD di Pahang pula membabitkan Taman Balok Makmur dan Kampung Seberang Sungai Ular di Kuantan serta Flat Damai Taha, Temerloh.

Sementara itu, Rodzi berkata, MKN melanjutkan PKPD di Bandar Sinsuran; University Condominium Apartment Fasa 2 dan Rumah Murah Kepayan, Kota Kinabalu.

Katanya, Kampung Lohan 1 di Ranau, Sabah yang dikenakan PKPD sebelum ini, ditamatkan bermula esok, berdasarkan laporan situasi semasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tambahnya, PKPD turut ditamatkan di beberapa lokaliti di Pahang yang bermula hari ini iaitu Kuala Tahan, Jerantut; Taman Sri Layang, Mentakab; Taman Sri Rimba; Taman Tualang Indah dan Felda Sungai Panching Selatan, Kuantan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 7:09 PM