Dr Jeffrey Kitingan
Dr Jeffrey Kitingan
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Parti Solidariti Tanah Airku (Star) meletakkan harapan supaya jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam Kabinet baharu kerajaan Pusat diberikan kepada pemimpin dari Sabah atau Sarawak.

Presidennya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata, keutamaan harus diberikan khususnya kepada pemimpin dari Sarawak kerana negeri itu banyak menyumbang jumlah sokongan pencalonan Perdana Menteri kepada Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, memang wajar jawatan Timbalan Perdana Menteri diberikan kepada pemimpin dari kedua-dua negeri sebagai penghargaan kepada sokongan mereka dan ia diharap mendapat pertimbangan yang sewajarnya.

"Ya, kenapa tidak, Sarawak paling banyak menyumbang sokongan kepada pemilihan Perdana Menteri, jadi kita harap perkara ini diberikan pertimbangan sewajarnya.

"Soal siapa calon Timbalan Perdana Menteri itu bukan satu masalah bagi saya kerana yang penting ialah jawatan itu diberikan kepada pemimpin dari sini (Sabah Sarawak) tetapi yang pastinya ialah dari Sarawak," katanya kepada pemberita setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dari Kuala Lumpur, petang ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya kemungkinan jawatan Timbalan Perdana Menteri diberi keutamaan kepada pemimpin dari Sabah dan Sarawak dalam Kabinet baharu kerajaan Pusat yang dijangka dibentuk dalam masa terdekat.

Sementara itu, Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, beliau yakin kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak akan tergugat berikutan perubahan tampuk kerajaan Pusat yang akan diketuai Ismail Sabri.

Katanya, semua parti di bawah gabungan itu sentiasa berbincang dan saling menekankan kerjasama serta komitmen memastikan apa yang berlaku di Semenanjung tidak akan berlaku di Sabah.

"Kami juga ada berbincang dengan Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan semua setuju supaya kerajaan GRS dipertahankan," katanya.

Dalam pada itu, Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau, berkata kemelut politik yang berlaku di Kuala Lumpur diharap selesai dengan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Kesembilan.

Beliau berkata, tumpuan selepas ini perlu diberikan sepenuhnya kepada isu dan masalah yang dihadapi sekarang iaitu pandemik Covid-19 dan kebajikan rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 6:42 PM