Zahid Hamidi
Zahid Hamidi
Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Perlantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan disambut baik presiden parti politik dan bekas menteri.

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah atas perlantikan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden parti itu.

Ahmad Zahid juga menjunjung kasih terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan Raja-Raja Melayu atas perkenan perlantikan itu.

"Syukur Alhamdulillah, tahniah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan setinggi-tinggi penghargaan menjunjung kasih Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan seluruh Raja-Raja Melayu," katanya dalam kenyataan menerusi Facebook (FB) hari ini.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, turut berharap Ismail Sabri dapat meneruskan usaha-usaha memerangi pandemik Covid-19 demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat serta kesejahteraan negara sebagaimana pandangan yang dizahirkan Yang di Pertuan Agong.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan yakin Ismail Sabri dapat menggalas amanah memacu pemulihan negara daripada segala kesan pandemik Covid-19.

"Semoga kepimpinan Datuk Seri membuka lembaran baru di dalam arena politik negara," katanya.

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula memberi komitmen akan terus bekerja dan berkhidmat sebagai ahli parlimen pembangkang.

"Sebagai ahli parlimen, tugas dan tanggungjawab hakiki saya adalah untuk terus membawa idea dasar dan polisi serta melaksanakan semak imbang ke atas setiap keputusan kerajaan untuk kebaikan rakyat.

"Kerajaan yang baru dibentuk ini wajib bekerja keras untuk menangani krisis Covid-19 dan memulihkan semula ekonomi negara," katanya yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 6:23 PM