ANTARA yang ditahan dalam Ops Noda Bersepadu. FOTO IHSAN PDRM
ANTARA yang ditahan dalam Ops Noda Bersepadu. FOTO IHSAN PDRM
Nur Izzati Mohamad


Seberang Perai: Polis menumpaskan sindiket promosi perkhidmatan seks menggunakan aplikasi WeChat dalam serbuan di empat hotel bajet di sekitar Bukit Mertajam, Butterworth dan Simpang Ampat, dekat sini, semalam.

Dalam serbuan bermula kira-kira jam 3 petang itu, polis menahan 11 wanita terdiri daripada tiga warga tempatan dan lapan warga asing berusia antara 25 hingga 47 tahun.

Turut dirampas pelbagai peralatan untuk kegiatan pelacuran seperti tisu, kondom, minyak pelincir, wang tunai dan telefon bimbit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra'ais berkata, kegiatan itu terbongkar susulan serbuan Op Noda Bersepadu dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.

"Kesemua wanita itu dipercayai dilanggan menerusi aplikasi WeChat sebelum datang ke hotel bajet yang ditetapkan sindiket bagi menawarkan perkhidmatan seks.

"Berdasarkan siasatan, setiap pelanggan dikenakan bayaran antara RM120 hingga RM200 bagi setiap perkhidmatan persundalan itu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Rahimi berkata, polis turut menahan dua lelaki iaitu pelanggan dan penjaga hotel bajet untuk tindakan lanjut.

"Pengusaha hotel juga akan dikenakan kompaun mengikut Peraturan 17(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

"Kesemua tangkapan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis berhampiran untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya, operasi seumpama itu akan dilakukan dari semasa ke semasa dan orang ramai diminta dapat terus menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui berlaku aktiviti tidak bermoral di kawasan mereka.

"Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terbabit dalam kegiatan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 3:21 PM