TANGKAP layar daripada video tular di media sosial.
TANGKAP layar daripada video tular di media sosial.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Seramai 31 ahli Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) yang berhimpun sambil membakar lilin dan memegang kain rentang putih pada program memperingati mereka yang gugur disebabkan pandemik Covid-19 dikompaun RM62,000.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellan Yahaya berkata, tindakan diambil selepas Pasukan Pematuhan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi mengesan mereka berhimpun di Dataran Merdeka pada 8 malam tadi.

Katanya, kesemua mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19 itu terlebih dahulu dibawa ke IPD Dang Wangi untuk diambil keterangan.

"Kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (perhimpunan tanpa notis); Seksyen 21a Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 10, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) (no. 2) 2021 (kawalan berhimpun).

"Setiap seorang dikompaun RM2,000 sebaik sahaja keterangan selesai diambil," katanya dalam kenyataan.

Noor Dellhan menasihati orang ramai supaya terus mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memerangi wabak Covid-19 dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal berbuat demikian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 12:56 AM