Zuliaty Zulkiffli

Yan: Pemantauan udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini, mendapati tiada kesan tanah lapang atau kawasan terbuka akibat pembalakan di Gunung Jerai dan Titi Hayun.

Sebaliknya, Timbalan Ketua Pengarah Operasi JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, tinjauan yang dilakukan menerusi helikopter Agusta AW189 itu hanya menemui kesan aliran air akibat fenomena kepala air yang mengakibatkan banjir kilat, semalam.

"Kita juga dapati terdapat sisa kayu dan lumpur serta batu yang turun dari atas hingga ke kawasan perkampungan dan kawasan resort di sekitar anak sungai yang ada," katanya yang mengulas sekiranya terdapat kemungkinan wujud aktiviti pembalakan haram sekitar Gunung Jerai sehingga menyebabkan bencana berlaku.

Penduduk Melihat Kesan Banjir Kilat Akibat Fenomena Kepala Air Di Gunung Jerai. Foto Luqman Hakim Zubir.
Penduduk Melihat Kesan Banjir Kilat Akibat Fenomena Kepala Air Di Gunung Jerai. Foto Luqman Hakim Zubir.

Terdahulu, sidang media itu turut dihadiri Pengarah JBPM Kedah, Sayani Saidon dan Ketua Polis Daerah Yan Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji.

Mengulas lanjut, Abdul Wahab berkata, bencana yang berlaku memberi kesan di kawasan perkampungan sekitar Titi Hayun dan Salak Denai selain terdapat tanah runtuh yang mengakibatkan penduduk terperangkap.

"Selain itu, ia menyebabkan banjir kilat yang berlaku di Taman Lembah Merbok yang mana 17 penduduk kampung terjejas dan semuanya selamat.

"Ketika ini, seramai 71 pegawai dan anggota bomba terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat membabitkan pelbagai kepakaran termasuk STORM dan Unit K9 yang menggunakan dua anjing pengesan bagi mencari mangsa," katanya.

Operasi itu turut mendapat bantuan anggota JBPM dari Pulau Pinang, Perak dan Perlis yang keseluruhan seramai 23 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 8:09 PM